WASHINGTON, 13 MAC – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris akan menghabiskan masa seminggu di Afrika pada akhir Mac ini ketika AS memperluaskan pengaruhnya ke benua itu di tengah-tengah persaingan global.
Rancangan Harris menyusuli lawatan wanita pertama, Jill Biden dan Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen.
Setiausaha Negara, Antony Blinken akan pergi minggu ini, dan Presiden Joe Biden dijangka berkunjung ke Afrika akhir tahun ini.
Bagaimanapun, Harris akan menjadi perhatian selaku naib presiden kulit hitam pertama dalam sejarah AS dan wanita pertama yang memegang jawatan itu.
Beliau merancang untuk berada di Ghana dari 26 hingga 29 Mac, kemudian di Tanzania dari 29 hingga 31 Mac. Persinggahan terakhirnya ialah Zambia, pada 31 Mac dan 1 April.
Menurut jurucakapnya, agenda naib presiden itu akan termasuk mempromosikan demokrasi, penyesuaian iklim, pemerkasaan ekonomi wanita dan keselamatan makanan.
Selain bertemu dengan presiden di setiap tiga negara yang dilawatinya, Harris merancang untuk berbincang dengan pemimpin muda, wakil perniagaan, usahawan dan ahli diaspora Afrika kata jurucakapnya lagi.
Usaha bersepadu Rumah Putih ke benua itu bermula ketika Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Afrika, yang dianjurkan pada bulan Disember. Washington menunjukkan dirinya sebagai rakan kongsi yang lebih baik.
Langkah AS ini adalah sebagai usaha untuk mencuba melebarkan pengaruhnya ke Afrika supaya para pemimpin di benua itu tidak berasa seolah-olah mereka terabai di tengah-tengah saingan geopolitik antara AS dengan negara lain. – AP
