Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naib Presiden AS tiba di India bagi lawatan rasmi

    NEW DELHI, 21 APRIL – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, memulakan lawatan selama empat hari ke India hari ini, ketika New Delhi berusaha untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan awal dan mengelakkan tarif berat dari AS.

    Lawatan Vance ini berlangsung dua bulan selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump, di Rumah Putih.

    Vance disambut dengan hamparan karpet merah, kawalan kehormatan dan kumpulan penari rakyat sebaik sahaja beliau melangkah keluar dalam cuaca terik di New Delhi, di mana beliau dijadualkan bertemu dengan Modi.

    Vance, 40, seorang penganut Katolik yang memeluk agama itu selepas dewasa, tiba di New Delhi sehari selepas bertemu Paus Francis di Vatican. Salah satu destinasi awal lawatannya adalah ke sebuah kuil Hindu yang luas bersama keluarganya.

    Naib Presiden AS itu ditemani isterinya, Usha, anak kepada pendatang India, dan tiga orang anak mereka yang turut melawat Kuil Akshardham dalam pakaian tradisional
    India.

    Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance dan isterinya, Usha Vance turun dari pesawat semasa ketibaan mereka di lapangan terbang di New Delhi, pada 21 April. – AFP

    Lawatan Vance turut merangkumi kunjungan ke Jaipur di Rajasthan pada Selasa lokasi Kubu Amber yang bersejarah dan ke Agra keesokan harinya untuk melawat makam marmar putih, Taj Mahal.

    Namun, yang lebih penting adalah pertemuan antara Modi dan Vance yang dijadualkan berlangsung lewat Isnin.

    Mereka dijangka akan meninjau kemajuan hubungan dua hala dan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama, menurut Kementerian Luar India.

    India dan AS kini sedang merundingkan fasa pertama perjanjian perdagangan, yang diharapkan New Delhi dapat dimeterai dalam tempoh 90 hari penangguhan tarif yang diumumkan oleh Trump bulan ini.

    “Kami sangat yakin lawatan ini akan memberi dorongan tambahan kepada hubungan dua hala kami,” kata jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal, kepada media minggu lalu.

    Lawatan Vance berlangsung di tengah-tengah ketegangan perang perdagangan yang semakin memuncak antara AS dan China. Negara jiran dan pesaing India itu kini berdepan tarif sehingga 145 peratus ke atas banyak produk oleh AS.

    Beijing pula bertindak balas dengan mengenakan duti sehingga 125 peratus ke atas barangan dari AS.

    India, yang dikenakan tarif sebanyak 26 peratus sebelum pengumuman penangguhan oleh Trump, setakat ini bertindak secara berhati-hati.

    Jabatan Perdagangan India dalam kenyataannya selepas pengumuman tarif berkata ia sedang meneliti dengan teliti implikasi keputusan tersebut, sambil menambah bahawa mereka juga mengkaji peluang yang mungkin timbul. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda