Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naib Presiden Filipina adakan lawatan rasmi

    Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Naib Presiden Republik Filipina dan Setiausaha Jabatan Pendidikan, Puan Yang Terutama Sara Z Duterte yang juga Presiden Majlis SEAMEO, hari ini, telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Serantau TVET SEAMEO VOCTECH.

    Hadir untuk mengalu-alukan Puan Yang Terutama yang diiringi oleh Penolong Setiausaha Pendidikan, Republik Filipina, Sunshine Charry Fajarda, ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, PYT Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Republik Filipina di Brunei Darussalam, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajud-din, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, wakil dari Sekretariat SEAMEO (SEAMES).

    Semasa lawatan itu, Puan Yang Terutama dan delegasi telah diberi taklimat mengenai pencapaian Pusat TVET setakat ini untuk Tahun Fiskal 2022-2023, termasuk 45 program latihan dan bengkel yang dijalankan, penyelidikan semasa yang diketuai oleh pusat berkenaan mengenai Kesediaan Institusi TVET untuk IR 4.0 di Asia Tenggara, dan pelancaran laman sesawang Majlis ASEAN TVET, dijana oleh hab pengetahuan serantau SEA-VET.net dan dihoskan oleh Pusat Serantau TVET dengan sokongan oleh rakannya GIZ-RECOTVET.

    Bagi menyokong pusat berkenaan, Puan Yang Terutama juga menyempurnakan pelancaran laman web baharu SEAMEO VOCTECH dan menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU), iaitu antara SEAMEO VOCTECH dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang diwakili oleh Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle, dan antara SEAMEO VOCTECH dan Universiti Normal Filipina, yang ditandatangani oleh Naib Presiden Akademik, Dr Jennie V Jocson.

    Dalam pada itu, Puan Yang Terutama dan rombongan juga melawat ke Sekolah Rendah Pusar Ulak di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, dan Guru Besar Sekolah Rendah Pusar Ulak, Hajah Norismawati binti Haji Ahmad.

    PYT Sara Z Duterte semasa mengadakan lawatan rasmi ke SEAMEO VOCTECH kelmarin.
    PYT Sara Z. Duterte bergambar bersama pelajar semasa melawat Sekolah Rendah Pusar Ulak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda