Naib presiden India dijangkiti COVID-19

NEW DELHI, 30 SEPT – Naib Presiden India M Venkaiah Naidu disahkan dijangkiti COVID-19 semalam, lapor agensi berita Xinhua.

“Naib Presiden India yang menjalani ujian saringan COVID-19 pagi ini didapati positif. Namun, beliau tidak mempunyai gejala dan dalam keadaan sihat. Beliau dinasihatkan menjalani kuarantin di rumah.

“Isterinya Usha Naidu diuji negatif dan sedang menjalani pengasingan kendiri,” menurut kenyataan pejabat naib presiden yang disiarkan di media sosial.

Naidu, 71, merangkap pengerusi Dewan Negara (yang dikenali Rajya Sabha), baru-baru ini dilaporkan menghadiri sesi parlimen.

Sesi itu ditangguhkan selepas lebih 25 anggota parlimen didapati positif virus itu. Pada Selasa kementerian kesihatan mengatakan jumlah kes COVID-19 di India mencecah 6,145,291 menyaksikan 96,318 kematian.

India negara kedua di dunia yang paling teruk dilanda pandemik selepas Amerika Syarikat. – Bernama