Tuesday, March 4, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naib Presiden Iran letak jawatan

    TEHERAN, 3 MAC – Bekas Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, yang merundingkan perjanjian nuklear bersejarah 2015 dengan kuasa dunia, telah meletak jawatan sebagai naib presiden, menurut media rasmi hari ini.

    Ageni berita rasmi IRNA melaporkan bahawa “surat peletakan jawatan Zarif telah diterima oleh Presiden Masoud Pezeshkian, yang belum memberi sebarang respons,” tanpa memberikan butiran lanjut.

    Dalam satu hantaran pada X hari ini, Zarif berkata beliau telah “menghadapi penghinaan, fitnah dan ancaman yang paling teruk terhadap diri saya dan keluarga saya. Dan saya telah melalui tempoh yang paling pahit dalam 40 tahun perkhidmatan saya.”

    “Bagi mengelakkan tekanan lebih lanjut kepada kerajaan, ketua badan kehakiman mencadangkan supaya saya meletak jawatan dan… saya terima cadangan itu dengan segera,” tambahnya.

    Pezeshkian, yang memulakan jawatan pada Julai, melantik Zarif sebagai naib presiden bagi hal ehwal strategik pada 1 Ogos, namun Zarif meletak jawatan kurang dari dua minggu selepas itu, sebelum kembali semula ke jawatan berkenaan pada bulan yang sama.

    Zarif merupakan diplomat tertinggi Iran antara 2013 dan 2021 dalam kerajaan presiden sederhana Hassan Rouhani.

    Beliau dikenali di pentas antarabangsa melalui rundingan panjang bagi perjanjian nuklear 2015 yang dikenali secara rasmi sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama.

    Perjanjian tersebut secara efektif digagalkan tiga tahun kemudian apabila, semasa penggal pertama Donald Trump sebagai presiden, Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu dan mengenakan semula sekatan-sekatan yang menyakitkan ke atas Iran. – AFP

    Mohammad Javad Zarif semasa menghadiri sidang media di Tehran, Iran, pada 29 November 2015. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda