Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naib Presiden Malawi, 9 penumpang pesawat disahkan maut

    LILONGWE, 11 JUN – Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima terbunuh dalam nahas pesawat, kata presiden negara itu hari ini, selepas anggota menyelamat menemui serpihan pesawat itu di dalam hutan berkabus.

    Pesawat tentera yang membawa Chilima, 51, dan sembilan yang lain hilang kelmarin, selepas ia gagal mendarat di bandar utara Mzuzu akibat cuaca buruk dan diarah pulang ke ibu negara, Lilongwe.

    “Pasukan mencari dan menyelamat telah menemui pesawat itu musnah sepenuhnya tanpa ada yang terselamat, kerana semua penumpang di dalamnya terkorban akibat hentakan kuat,” kata Presiden Malawi, Lazarus Chakwera ketika berucap kepada negara itu.

    “Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa sedihnya hati ini,” katanya sambil menyifatkan kemalangan itu sebagai ‘tragedi yang dahsyat’.

    Gambar yang dikongsi bersama AFP oleh seorang anggota penyelamat tentera menunjukkan anggota tentera berdiri di cerun berkabus berhampiran serpihan yang mempunyai nombor pendaftaran pesawat Air Wing Dornier 228-202K Tentera Malawi.

    Pasukan penyelamat telah menggeledah hutan yang diselubungi kabus di selatan Mzuzu hari ini, selepas pihak berkuasa mengesan menara terakhir yang menghantar isyarat sebelum pesawat itu hilang.

    Terdahulu, komander tentera, Jeneral Paul Valentino Phiri berkata negara lain termasuk Malawi, telah berusaha membantu dan mencari dengan sokongan helikopter dan dron.

    Kumpulan itu berlepas sejurus selepas 9 pagi dari Lilongwe kelmarin untuk menghadiri pengebumian seorang bekas menteri kabinet kira-kira 370 kilometer jauhnya di Mzuzu.

    Bekas wanita pertama Malawi, Shanil Dzimbiri juga berada dalam pesawat itu. – AFP

    Naib Presiden Malawi dan isterinya turun dari pesawat selepas mereka kembali dari Korea Selatan di Lillongwe, pada 9 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda