BARCELONA, 1 Mac- Bos Barcelona, Luis Enrique menegaskan kebergantungan pasukannya kepada Lionel Messi adalah normal apabila anda mempunyai ‘pemain terbaik dunia’ dalam pasukan anda.
Messi mengekalkan cabaran gelaran Barca dalam persaingan La Liga dengan jaringan kemenangan lewat 2-1 ke atas Leganes dan Atletico Madrid dalam dua pertemuan mereka lalu untuk menghimpunkan jaringannya pada musim ini kepada 35 gol.
Bagaimanapun, Barca masih perlu untuk mengukuhkan masa depan jangka masa panjang Messi di Camp Nou. Pemain Terbaik Dunia lima kali itu hanya mempunyai baki setahun dalam kontraknya dengan perbincangan mengenai persetujuan baru sedang dibuat.
“Ia adalah naif untuk memikirkan kami tidak bergantung kepada pemain terbaik dunia,” kata Enrique semalam. “Kami berharap kami boleh bergantung kepadanya bagi beberapa tahun akan datang.”
Kemenangan di Atletico mengurangkan tekanan ke atas Enrique selepas tewas 4-0 di Paris Saint-Germain dua minggu lalu, yang menyaksikan pasukan Catalans itu hampir tersingkir dari 16 pasukan terakhir Liga Juara–Juara buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Menjadi fokus dan kritikan meluas adalah perubahan taktikalnya daripada gaya tradisi penguasaan bola Barca kepada gaya yang lebih terus yang direka untuk mendapatkan sentuhan yang terbaik daripada Messi, Luis Suarez dan Neymar. – AFP