Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naik taraf BruHIMS, BruHealth giat dilaksanakan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kementerian Kesihatan semakin giat menaik taraf sistem dan infrastruktur teknologi maklumat kesihatan dan berusaha untuk membudayakan ekosistem data kesihatan negara, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika membentangkan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Beliau menambah, kerja-kerja penaiktarafan Sistem BruHIMS masih dalam fasa perancangan dan akan siap dilaksanakan pada 2024, tetapi ke arah itu, pelbagai projek penaiktarafan telah pun dibuat yang termasuk menaik taraf infrastruktur rangkaian (network) di bangunan Kementerian Kesihatan dan penaiktarafan infrastruktur teras Sistem BruHIMS di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dijangka akan siap pada penghujung April.

    Manakala penubuhan sistem infrastruktur pemulihan bencana (Disaster Recovery Centre) bagi Sistem BruHealth telah siap dilaksanakan pada pertengahan Februari lalu.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, penubuhan Kampus Data Global dengan kerjasama EVYD Technology Sdn Bhd di Negara Brunei Darussalam nanti akan memaksimumkan penggunaan teknologi terkini seperti Big Data dan Artificial Intelligence untuk memacu kemapanan dalam sistem penjagaan kesihatan dan komitmen terhadap transformasi dan penyelidikan penjagaan kesihatan digital.

    Pencapaian berperingkat itu menunjukkan kemajuan positif sejak Sistem BruHealth diperkenalkan yang pada mulanya digunakan bagi pengurusan wabak COVID-19.

    Beliau menjelaskan dalam masa yang terdekat, Sistem BruHealth akan dinaik taraf kepada versi 3.0 dan akan dilancarkan dengan penambahan ciri-ciri seperti pengurusan ke-sihatan, pengurusan kesihatan penduduk dan pembaharuan serta pembaikan ke atas ciri-ciri yang sedia ada pada versi-versi BruHealth sebelumnya.

    Di samping itu, beberapa projek telah diperkenalkan dengan menggunakan aplikasi BruHealth sebagai platform, seperti The Check-In Challenge dan The One Billion Steps Challenge yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

    Dalam memastikan keselamatannya, Kementerian Kesihatan telah bekerjasama dengan pihak Sekuriti Siber Brunei (CSB) untuk memastikan sekuriti sistem BruHealth sentiasa dalam keadaan yang optimum dan selamat.

    Sementara itu, dalam meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat, Brunei Darussalam Multisectoral Action Plan for the Prevention and Control of Noncommunicable Diseases (BruMAP-NCD) 2021-2025 akan dilancarkan tidak lama lagi bagi memberi keutamaan kepada pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit-penyakit tidak berjangkit dan faktor risikonya, sebagai usaha berterusan pihak Kementerian Kesihatan dalam menentukan hala tuju dasar dan strategi bagi pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

    Seterusnya, sebagai melengkapi BruMAP-NCD, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) juga sedang bekerjasama dalam meneliti serta mengintegrasikan draf strategi Penuaan Sihat (Healthy Ageing) dengan Pelan Tindakan Warga Emas yang sedang dikemas kini.

    Bagi mendukung pelan berkenaan, Kementerian Kesihatan telah dan akan terus meneliti serta mengemas kini peranan Jawatankuasa Pelbagai Sektor Mengenai Kesihatan dalam sama-sama mencapai matlamat bidang tumpuan utama yang telah dikenal pasti. Selain itu, satu kajian rintis mengenai pengurusan dan intervensi penyakit diabetes melalui aplikasi BruHealth juga akan dijalankan pada Mac hingga September depan dengan kerjasama teknikal yang dihulurkan oleh EVYD Technology Sdn Bhd dalam menghasilkan data bagi mengkaji keberkesanan intervensi perubahan gaya hidup dalam kalangan pesakit-pesakit diabetes.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

    Statistik setakat ini, jelasnya, menunjukkan kemurungan dan keresahan serta stres merupakan gejala kesihatan mental yang kerap dihidapi kalangan penduduk dan setentunya ia diburukkan lagi semasa pandemik dua tahun kebelakangan ini.

    Pada masa ini, sekitar 7,000 individu sedang menjalani rawatan kesihatan mental di Jabatan Psikiatri hospital dan juga di tahap komuniti dalam semua peringkat umur termasuk kanak-kanak dan remaja.

    “Perkara itu menimbulkan kebimbangan apabila terdapat sebilangan orang yang nekad untuk membunuh diri. Pada tahun 2020 sahaja, terdapat 14 kematian akibat bunuh diri dicatatkan yang mana enam daripadanya terdiri daripada warga tempatan dan penduduk tetap, dan hanya tiga daripada kes kematian yang dilaporkan ini dicatatkan sebagai pernah mendapatkan perkhidmatan psikiatri dan psikologi.”

    Perkara itu, tekannya, harus dipandang serius kerana ia boleh menjerumuskan individu ke arah kehancuran dan tidak syak lagi akan mendatangkan kerugian kepada keluarga, masyarakat dan juga negara.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda