Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA) yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan dengan seramai 794 orang perantis sedang menjalani program di kementerian dan jabatan kerajaan merupakan sebuah inisiatif yang amat disambut baik.
Melalui skim itu, ia diharap dapat melahirkan pegawai-pegawai dalam kalangan perkhidmatan awam yang terlatih, berwibawa, berintegriti dan mempunyai budi bicara yang tinggi terutama dalam membuat sebarang keputusan apabila menghadapi kerenah orang ramai.
“Perkara ini penting bagi menjaga nama baik, reputasi dan kewibawaan pihak kerajaan,” jelas Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan semasa Sesi Perbahasan Peringkat Dasar bagi Rang Undang-undang (2025) Perbekalan, 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan pada hari kelima Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz berharap supaya skim yang sama dapat diperluaskan dengan mewujudkan satu skim kepimpinan akar umbi yang memberi pendedahan kepada tugas dan tanggungjawab penghulu mukim dan ketua kampung sebagai usaha ke arah melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkemahiran dan berpengalaman di kalangan graduan yang terdiri daripada belia-belia.
Beliau turut menyuarakan mengenai bangunan-bangunan kerajaan yang disewa untuk kegunaan orang ramai dengan kadar sewa yang terlalu rendah termasuk dewan-dewan kerajaan yang disewa bagi majlis perkahwinan.

Yang Berhormat Awang Abdul Aziz berkata, “Memandangkan permintaan yang tinggi, ada baiknya bangunan-bangunan ini dinaik taraf mengikut perubahan semasa dengan dilengkapi dengan kelengkapan yang baharu yang serba canggih serta setanding dengan dewan-dewan yang lain di pasaran.
“Ini termasuklah prasarana-prasarana lain seperti gelanggang sukan, gerai-gerai dan tapak perniagaan. Dengan ini, pihak kerajaan dapat mengemaskinikan dasar sewa yang lebih sesuai ke arah menyumbang kepada peningkatan hasil kerajaan.”
Manakala itu, berkenaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12 (RKN-12), beliau menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan ke arah kelestarian alam semula jadi dengan melaksanakan konsep bangunan hijau termasuk projek pemasangan panel solar di 38 buah bumbung bangunan kerajaan.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menyatakan inisiatif berkenaan perlu diteruskan dan diperluaskan skop pelaksanaannya dengan mewujudkan pelan transformasi, National Go Green, yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Ini termasuklah menaik taraf penggunaan tenaga konvensional ke tenaga solar di tempat-tempat awam seperti tandas awam dan perhentian bas.”