Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naik taraf Jalan Donggongon-Tambunan dijangka siap Oktober 2026

    PENAMPANG, 20 APRIL – Projek naik taraf Jalan Donggongon-Tambunan di Sabah yang bernilai RM299.76 juta dijangka siap pada Oktober 2026, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata setakat ini, projek yang dimulakan pada 25 Oktober 2022 itu telah mencatatkan kemajuan sebanyak 13.06 peratus dan akan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan daripada E kepada sekurang-kurangnya C semasa waktu puncak.

    “Projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan-2 Rancangan Malaysia ke-11 ini dijangka menjimatkan masa perjalanan hingga 30 minit dan membantu menyuraikan aliran trafik yang sesak,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas meninjau perkembangan projek itu hari ini.

    Nanta berkata skop projek itu termasuk menaik taraf Jalan Penampang Bypass dan Jalan Penampang-Tambunan dari ITCC ke Balai Polis Penampang kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 2.5 kilometer serta pembinaan persimpangan bertingkat di Bulatan Sigah.

    “Projek ini juga meliputi pembinaan dua buah jambatan konkrit pratuang di Sungai Kibabaig, tiga pusingan U bermeter di lokasi strategik dan sebuah jejantas pejalan kaki,” katanya.

    Pada sidang media selepas lawatan itu, beliau berkata sebelum ini projek tersebut mengalami kelewatan dan telah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali. – Bernama

    Nanta (dua, kanan) ketika melawat projek Naik Taraf Jalan raya Donggongon ke Tambunan pada 20 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda