Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naik taraf perkhidmatan pengimejan payudara

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Bagi menaik taraf penyediaan perkhidmatan pengimejan payudara di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Perasmian Pusat Pengimejan Payudara dan Pelancaran Ciri Penilaian Risiko Kanser Payudara dalam Aplikasi BruHealth di Pusat Pengimejan Payudara, Jabatan Radiologi, Hospital RIPAS.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Konsultan Gred II dan Ketua Jabatan Radiologi, Dr Nor Lenny binti Abdullah.

    Dr Nor Lenny berkata, kanser payudara di Negara Brunei Darussalam juga merupakan kanser paling utama dalam kalangan wanita, iaitu lebih 100 kes baharu dikesan setiap tahun. Dari tahun 2002 hingga 2022, sebanyak 1,814 kes kanser payudara telah dicatat.

    Menurut beliau, pada 2022 sahaja, kira-kira 148 wanita di Negara Brunei Darussalam telah disahkan menghidap kanser payudara dan 35 kematian akibat kanser ini pada tahun yang sama.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan merasmikan Pusat Pengimejan Payudara serta pelancaran ciri penilaian risiko payudara dalam BruHealth kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham melawat kemudahan di Pusat Pengimejan Payudara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dr Norzawani ketika ditemu bual media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Bilik ultrabunyi yang terdapat di pusat berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Program Pemeriksaan Saringan Kanser Payudara yang melibatkan pemeriksaan saringan mamogram secara berkala ke atas wanita-wanita warganegara dan penduduk tetap yang berumur 40 hingga 69 tahun dan memenuhi kriteria untuk mengikuti program ini.

    “Sejak program ini bermula, operasi perkhidmatan mamogram telah dipertingkatkan dan jumlah wanita yang mengikuti program saringan ini juga telah meningkat. Sehingga bulan Mei 2024, data yang diperoleh menunjukkan 18.3 peratus iaitu 9,000 wanita daripada kalangan wanita yang memenuhi kriteria, telah mengikuti program saringan ini.

    “Bagi menampung jumlah peningkatan penyertaan dalam program saringan ini, perkhidmatan pengimejan payudara yang sedia ada perlu dipertingkatkan melalui penubuhan Pusat Pengimejan Payudara yang dirasmikan petang ini,” kata beliau.

    Acara diteruskan dengan perasmian Pusat Pengimejan Payudara dan pelancaran ciri penilaian risiko kanser payudara dalam aplikasi BruHealth oleh tetamu kehormat. Ia diikuti tayangan klip video mengenai peranan dan kemudahan yang terdapat di Pusat Pengimejan Payudara dan ciri penilaian risiko kanser payudara yang baru diperkenalkan dalam aplikasi BruHealth, serta penandatanganan plak perasmian.

    Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, penubuhan Pusat Pengimejan Payudara ini adalah salah satu inisiatif untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti perkhidmatan pengimejan payudara di hospital tersebut ke arah mendukung usaha Kementerian Kesihatan dalam mencegah dan mengawal penyakit kanser di negara ini.

    Di samping itu, projek itu juga bertujuan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan dan meningkatkan lagi keyakinan, keselesaan dan privasi pesakit-pesakit yang menjalani pemeriksaan mamogram di Hospital RIPAS.

    Pusat ini dilengkapi dengan tiga buah bilik mamogram, tiga buah bilik ultrabunyi, bilik laporan dan kemudahan lain, termasuk penyediaan dua buah peralatan mamogram baharu dengan aplikasi terkini seperti Breast Tomosynthesis yang menghasilkan lapisan-lapisan imej payudara lebih terperinci dan secara tiga dimensi yang dapat meningkatkan lagi kualiti diagnosis kanser payudara.

    Manakala, ciri penilaian risiko kanser payudara dalam aplikasi BruHealth membolehkan pengguna, berumur 40 tahun dan ke atas, membuat penilaian risiko kanser payudara dengan menjawab soal selidik saringan yang mana akan menentukan sama ada pemeriksaan saringan mamogram disarankan.

    Melalui aplikasi ini juga, pengguna berkenaan boleh menempah terus temu janji saringan pemeriksaan mamogram tanpa perlu hadir ke Klinik Kesihatan Wanita.

    Majlis berakhir dengan tetamu kehormat melawat kemudahan-kemudahan yang terdapat di Pusat Pengimejan Payudara tersebut.

    Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda