Kesesakan di sempadan pintu masuk negara dapat dikurangkan sekiranya pihak berwajib mengambil inisiatif menambah laluan jalan raya di sempadan negara dan menaik taraf fasiliti yang berkaitan di pos-pos kawalan.
Baru-baru ini, saya sekeluarga berpeluang bercuti di negara jiran.
Namun percutian tersebut sedikit terganggu dengan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan sempadan pintu masuk negara.
Saya ingin mencadangkan kepada pihak yang berkaitan supaya menambah laluan jalan raya sedia ada di Jalan Labu, Daerah Temburong dan Jalan Sungai Tujoh, Daerah Belait daripada satu laluan kepada sekurang-kurangnya dua laluan.
Naik taraflah laluan tersebut daripada jalan raya satu laluan kepada lebuh raya dengan dua laluan pergi dan balik.

Setiap kali musim percutian atau perayaan, kita sering melihat kemas kini daripada orang ramai atau ahli keluarga di media sosial mengenai betapa panjangnya queue di sempadan pintu masuk negara.
Pada pendapat saya, ia adalah kerana jumlah trafik yang terlalu banyak pada musim tersebut, ditambah lagi dengan kekurangan fasiliti di pos-pos kawalan.
Semua sedia maklum, semasa musim percutian atau perayaan, lebih banyak kenderaan akan keluar masuk negara.
Mereka yang menggunakan jalan tersebut bukan sahaja terdiri daripada rakyat tempatan yang ingin bercuti ke negara jiran, malah terdapat juga warga asing yang bekerja atau menetap di Brunei yang ingin membuat perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing.
Maka, dengan keadaan jalan yang begitu sempit dan hanya mempunyai satu laluan sahaja, ia pasti menyebabkan kesesakan yang sangat teruk.
Dari segi keselamatan pula, tidakkah awda terfikir, bagaimanakah ambulans dapat melintas kawasan tersebut jika ia dipenuhi dengan kenderaan?
Terdapat juga orang ramai yang menyalahkan sistem digital baharu yang diamalkan di pintu masuk negara jiran.
Pada pendapat saya, ia hanyalah bersifat sementara. Seperti mana kita mengamalkan sistem e-ketibaan sebelum ini.
Pada mulanya, sistem tersebut dilihat menyusahkan warganegara asing yang masuk ke negara kita dan sering menyebabkan kesesakan.
Namun, selepas beberapa ketika, semakin ramai orang sudah mula peka dan menerima pakai sistem tersebut. Maka, toleransi dan peluang yang sama perlu diberikan kepada negara jiran juga.
Sudah tiba masanya kita menaik taraf fasiliti di pintu masuk negara. Tambah juga bilangan kaunter yang berfungsi.
Bukan sekadar tambah kaunter tetapi tambah juga pegawai yang bertugas di sana.
Selain itu, sediakanlah bilangan tandas yang lebih banyak dan ruang untuk meletakkan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berhampiran pos-pos kawalan terbabit.
Jika kita benar-benar ingin maju ke hadapan, isu kesesakan di sempadan negara ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berwajib.
Tindakan segera perlu diambil kerana isu ini telah berlarutan sekian lama.
Awang RXZ






