BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Dua buah kedai perhiasan rumah telah dikenakan kompaun $1,000 kerana mengelirukan para pengguna semasa aktiviti jualan promosi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kedua-dua perniagaan berkenaan didapati telah menaikkan harga biasa atau harga sebelum jualan atas sejumlah barangan jualan dan menghasilkan rekod perniagaan yang palsu semasa menjalankan pemeriksaan.
Perbuatan kedua-dua buah perniagaan tersebut menjadi kesalahan yang melanggar peraturan 16(1) dan 16(3) yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Harga Jualan Murah.
Kenyataan menjelaskan, Peraturan-Peraturan Harga Jualan Murah dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) melarang para peniaga daripada terlibat dengan amalan-amalan urus niaga yang tidak beretika termasuk membuat pernyataan yang kurang tepat atau mungkin membuat tanggapan palsu kepada para pengguna.
Para peniaga adalah dilarang daripada memberi gambaran yang salah atau mengakibatkan para pengguna merasa telah menikmati tawaran terbaik.
Kenyataan menekankan bahawa JPHEP di JPES telah dan sentiasa memberikan peringatan berterusan kepada para peniaga berhubung dengan kepentingan amalan harga beretika dalam menawarkan promosi atau potongan harga yang adil secara sah dan telus.
Para pengguna yang mendapati sebarang amalan jualan yang tidak beretika adalah digalakkan untuk melaporkannya kepada JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau melalui e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn / consumercomplaint@jpes.gov.bn.