Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naim kongsi sikap golongan berpengaruh, ‘Instafamous’

    Sejak akhir-akhir ini, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel mencuri tumpuan warganet dengan ciapan ‘berbisa’. Namun, ada logik dan kebenarannya setiap kali anak muda ini menyuarakan isi hati berhubung pelbagai isu semasa dalam media sosial.

    Saban hari, ciapan Naim di Twitter, diungkap dan dikongsi pengikut yang percaya apa yang disuarakan mewakili suara hati ramai. Daripada isu semasa seperti penularan pandemik COVID-19, soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP), hal-ehwal politik hingga kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, perkongsian Naim yang juga komposer berbakat besar, pantas ‘trending’.

    Namun, penyanyi lagu Purnama dan Sumpah ini percaya populariti, pengaruh atau perhatian yang diraih perlu seimbang dengan tanggungjawab dan contoh baik yang ditunjukkan kepada masyarakat.

    Justeru, Naim menasihatkan individu bergelar ‘Instafamous’ dan selebriti sering dilabel golongan ‘kayangan’ yang gemar berkongsi aktiviti dalam media sosial, tidak sewenang-wenangnya cuba membangkitkan kemarahan orang lain pada era pandemik COVID-19 ini.

    Penyanyi yang diangkat sebagai pemenang Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 berkata, sebagai golongan yang mempunyai ramai pengikut, sifat bertanggungjawab dan empati perlu ada dalam berkongsi hantaran.

    Naim Daniel menyifatkan persepsi ‘pukul rata’ dalam membicarakan soal sikap golongan berpengaruh dan ‘Instafamous’ memberi imej buruk sehingga menjejaskan reputasi individu lain yang tidak bersalah. – Agensi

    “Tatkala kita didatangkan dengan pengaruh dan jumlah pengikut yang ramai, sekali gus menjadikan kita ini seperti bahan rujukan dan ikutan orang lain, soal menjadi contoh terbaik adalah sangat penting.

    “Kita terdorong menyajikan penonton dengan segala kandungan.

    “Bagaimanapun, kebelakangan ini, apa dilakukan segelintir ‘Instafamous’ dan selebriti seolah menjadi ikutan yang akhirnya membangkitkan kemarahan orang lain.

    “Malah, lebih teruk kekhilafan segelintir pihak yang bersikap kurang bertanggungjawab ini dikira ‘pukul rata’. ”Seolah-olah golongan ini tidak boleh pakai dan sama sahaja,” katanya kepada media.

    Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin menyifatkan persepsi ‘pukul rata’ dalam membicarakan soal sikap golongan berpengaruh dan ‘Instafamous’ memberi imej buruk sehingga menjejaskan reputasi individu lain yang tidak bersalah.

    Apatah lagi, tambah Naim, rakyat ketika ini terkesan dengan impak penularan COVID-19.
    “Saya juga merasa kesan penularan COVID-19. Jadi, beragak-agaklah dalam memuat naik sesuatu hantaran.

    “Jika fikir diri mendapat ‘lesen’ atau layanan istimewa sekalipun, sebaiknya, usah dikongsi dalam media sosial,” katanya.

    Pelakon filem Bisik Pada Langit ini mengaku cukup berhati-hati dalam berkongsi entri dalam media sosial. Naim percaya dalam era media sosial, ramai pengguna suka berkongsi pelbagai perkara pada setiap masa.

    “Tetapi kita patut fikir di mana letaknya privasi kita atau nilai diri sebagai simpanan peribadi.

    “Jadi, dalam soal ini, ada perkara yang kita boleh kongsi dan yang mesti disimpan. Tepuk dada tanya akal dan hati.

    “Bagi saya, tidak perlu semua perkara dikongsi dan dipersembahkan dalam media sosial,” katanya.

    Tambah Naim, dalam keadaan getir ini, golongan berpengaruh dan ‘Instafamous’ perlu bijak menyalurkan perkara positif dan mengelak kemarahan orang lain.

    Mengulas mengenai karier seni terutama dunia muzik, penyanyi lagu Lara bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli ini rancak menghasilkan karya baharu.

    “Insya-Allah, ada beberapa projek mendatang yang akan saya tampilkan secara kolaborasi termasuk dengan Joe Flizzow dan kumpulan Dolla.

    “Tidak ketinggalan, single solo baharu,” katanya teruja.

    Naim berkongsi projek lagu saduran ‘suka-suka’ berjudul Malam yang dijayakan bersama Firdaus Rahmat, baru-baru ini. Pada 23 Mei lalu, Naim buat kali pertama mencuba nasib sebagai pengacara program Karok Ok bersama Sharifah Shahirah di TV3. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda