Pelakon, penyanyi dan komposer muda, Naim Daniel, 26, bakal tampil dengan projek band dalam masa terdekat.
Naim berkata, dia sebagai vokalis bersama empat rakan pemuzik akan membentuk kumpulan.
“Saya akan tampil dengan projek band. Sebelum ini, saya dikenali sebagai penyanyi solo dan komposer, namun fokus saya mahu dikenali bersama band.
“Saya membesar dengan mendengar lagu banyak kumpulan muzik. Pernah ada ketikanya saya rasa tidak lagi seronok membuat persembahan secara solo, jadi saya memerlukan satu tekanan baharu.
“Saya jenis tidak suka duduk dalam zon selesa. Jadi, saya merancang melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah fikir nak buat atau ada pengalaman.

“Mungkin bersama kumpulan muzik agak asing, tetapi tidak salah saya mencuba dan bermula daripada kosong,” katanya kepada BH Online.
Pemilik nama Muhammad Naim Daniel Baharin itu berkata, projek bersama band diusahakan sejak tahun lalu lagi, namun baru dapat direalisasikan tahun ini.
“Saya bersama empat rakan pemuzik baharu dapat duduk berbincang, baru-baru ini.
“Kami tampil berlima dan saya adalah vokalis. Selebihnya, rakan bermain gitar, dram, keyboard dan sebagainya.
“Saya mengenali mereka menerusi media sosial. Saya juga mendapat nasihat daripada vokalis Hujan, Noh Salleh terlebih dahulu.
“Noh jadi rujukan saya untuk mengemudi projek band ini. Malah, pembabitan saya dalam konsert bersama Hujan, baru-baru ini juga antara langkah awal saya sebelum tampil dengan band.
“Nazrin dari band Sekumpulan Orang Gila juga memberi sokongan kerana saya dilihat lebih ‘hidup’ bersama band,” katanya.
Naim berkata, dia akan memperkenalkan anggota band ketika tampil dalam Konsert Patah Hati yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mac depan. – Agensi

