Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Najib ditahan SPRM

    PUTRAJAYA, 19 Sept – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau.

    SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata penahanan itu dibuat kira-kira jam 4:13 petang hari ini di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

    Menurut SPRM, Najib bakal menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

    Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok (20 September) bagi pertuduhan di mahkamah, kata SPRM.

    SPRM berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Datuk Seri Najib ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dalam gambar fail 8 Ogos 2018. Bekas Perdana Menteri Malaysia itu ditahan oleh SPRM kelmarin berhubung kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau. – AFP

    Najib dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM pada kira-kira 3 petang hari ini selepas dipanggil suruhanjaya itu bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.

    Bagaimanapun, kira-kira 20 petugas media yang menunggu di perkarangan Bangunan SPRM itu, gagal merakamkan kelibat Najib. Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas tujuh pertuduhan.

    Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Pada 8 Ogos pula, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda