KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah agar kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Permohonan itu akan didengar esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Bernama
