Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Najib gesa usaha ASEAN turunkan tarif kepada sifar

    MANILA, 28 April – Sepuluh negara anggota ASEAN mesti berusaha keras untuk menurunkan tarif di rantau ini kepada sifar selain memansuhkan halangan bukan tarif, memandangkan tidak ada pilihan lain untuk mewujudkan ekonomi yang lancar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata ASEAN sudah melangkah jauh ke hadapan sejak 50 tahun lepas dengan menggandakan ekonomi sebanyak 28 kali, daripada AS$87.2 bilion (RM380 bilion) pada 1975 kepada AS$2.5 trilion (RM10.88 trilion) pada 2014 dan kini mengunjurkan peningkatan kepada AS$9.2 trilion (RM40 trilion) menjelang 2050, menjadikannya kumpulan ekonomi keempat terbesar di dunia.

    “Ini angka yang besar dan kedudukan yang mengagumkan. Namun, kita belum merealisasikannya. Cabaran besarnya ialah memastikan usaha berterusan dalam penyepaduan ekonomi individu kita, yang penting bagi ASEAN itu sendiri, untuk menjadi pasaran dunia yang penting.

    “Perjalanan kita masih jauh,” katanya hari ini dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Kemakmuran Untuk Semua anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN sempena Sidang Kemuncak ke-30 ASEAN di sini.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ASEAN perlu menurunkan tarif perdagangan yang masih wujud.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media bersama wartawan Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 kelmarin. – Bernama
    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media bersama wartawan Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 kelmarin. – Bernama

    Beliau memetik angka Pertubuhan Perdagangan Dunia yang menunjukkan tarif  ASEAN adalah pada purata empat peratus pada 2015.

    “Tindakan menurunkannya kepada sifar mesti diteruskan bersungguh-sungguh,” katanya kepada kira-kira 1,000 perwakilan yang menyertai persidangan itu.

    Rantau ini juga mesti berusaha memudahkan perdagangan sesama ASEAN.

    “Bagi merealisasikan angka US$9.2 trilion itu menjelang 2050, perlu ada pengurangan 20 peratus kos tetap perdagangan. Kita mesti berusaha memudahkan tindakan seperti jendela tunggal nasional yang lancar dan dihubungkan dengan jendela tunggal ASEAN serta menyeragamkan prosedur kastam,” kata Najib. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda