PUTRAJAYA, 31 MAC – Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu, telah menolak permohonan bekas perdana menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
“Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya.
Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais. – Bernama