WASHINGTON, 23 MEI – Hutan belantara ais Antartika semakin panas dengan cepat di bawah kesan perubahan iklim yang didorong oleh manusia, akan tetapi satu kajian baharu menunjukkan najis penguin mampu membantu dalam usaha untuk memastikan benua itu sejuk.
Kajian yang diterbitkan kelmarin dalam Communications Earth & Environment, menunjukkan ammonia daripada najis penguin memberi litupan awan tambahan di atas pantai Antartika dan berkemungkinan mampu menghalang cahaya matahari serta menurunkan suhu.
Penulis utama yang juga seorang saintis atmosfera di Universiti Helsinki, Matthew Boyer berkata kepada AFP bahawa kajian makmal telah lama menunjukkan gas ammonia boleh membantu membentuk awan.
Bagaimanapun, untuk benar-benar mengukur proses ini dan melihat keberkesanannya di Antartika belum dilakukan,“ katanya.
Antartika merupakan makmal semula jadi yang ideal. Dengan hampir tiada pencemaran manusia dan sedikit tumbuh-tumbuhan – ke-dua-duanya sumber alternatif gas pembentukan awan – koloni penguin mendominasi sebagai pelepasan ammonia.
Masa depan burung itu, bagaimanapun, terancam.
Ais laut yang cair mengganggu rutinnya untuk bertelur, memberi makan dan mengelak pemangsa – menjadikannya lebih mendesak untuk memahami peranan ekologinya yang lebih luas.
Bersama-sama dengan burung laut lain seperti Imperial Shags, penguin mengeluarkan sejumlah besar ammonia melalui najis dan air kencing yang dikeluarkan melalui kloaka haiwan itu.
Apabila ammonia itu bercampur dengan gas yang mengandungi sulfur daripada fitoplankton – alga mikroskopik yang tumbuh subur di lautan sekeliling – merangsang pembentukan zarah aerosol kecil yang berkembang menjadi awan. – AFP
