Najwa Latif muncul dengan lagu baharu

Dua tahun sibuk dengan kerjaya sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta, penyanyi Najwa Latif muncul dengan lagu baharu berjudul Tak Kisah Pun untuk peminat-peminatnya.

Najwa, 26, berkata, dia tidak berasa terbeban untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian berikutan minat yang mendalam terhadap kariernya itu.

“Sudah lebih dua tahun saya bergelar pensyarah Bahasa Inggeris di UNITAR International University.

“Jujurnya, saya gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang ini.

“Walaupun sibuk sebagai pengajar, saya tetap muncul dengan lagu baharu berjudul Tak Kisah Pun yang merupakan produk sulung dari syarikat rakaman saya sendiri, NL Entertainment,” katanya kepada mStar.

Bercakap mengenai lagu Tak Kisah Pun, Najwa memberitahu ia dihasilkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Najwa Latif bergandingan dengan penyanyi rap baharu, Akwa Ariffin dalam lagu Tak Kisah Pun. – Agensi

Lebih istimewa dia turut bergandingan bersama penyanyi rap baharu, Akwa Ariffin.

“Pada awalnya, saya merancang mengeluarkan single baharu pada Januari lalu, tetapi disebabkan PKP, rancangan terpaksa ditunda.

“Tanpa dirancang, sekitar Mac lalu, saya mendapat idea menghasilkan lagu Tak Kisah Pun. Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP.

“Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah di muat naik di YouTube. Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya, ” katanya.

Lagu tersebut dihasilkan oleh Najwa bersama adik-beradiknya yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee, manakala liriknya dihasilkan dengan kerjasama Akwa.

Video muzik Tak Kisah Pun telah dimuat naik di laman YouTube pada 19 Jun lalu dan menerima lebih 200,000 tontonan. – Agensi