Penyanyi Najwa Latif selamat melahirkan cahaya mata pertama Selasa lalu.
Berita gembira itu disahkan oleh suami Najwa, Akwa Arifin yang memaklumkan tarikh kelahiran anaknya jatuh pada ulang tahun perkahwinan mereka.
Akwa bagaimanapun tidak mendedahkan jantina bayi mereka dalam perkongsian tersebut.
“Alhamdulillah, Najwa dan saya dengan penuh kesyukuran ingin berkongsi bahawa kami telah dikurniakan cahaya mata pada 11 November 2025.
“Tarikh yang lebih istimewa kerana ia juga menandakan ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga,” katanya.
Akwa berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Akwa turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan keluarganya.
“Doakan yang terbaik untuk kami dan semoga semua doa indah untuk kami dikembalikan kepada anda dengan lebih berlipat ganda, insya-Allah,” ujarnya.
Pada Disember tahun lalu, Najwa atau Imratul Najwa Abdul Latiff, 30, mendedahkan mengalami keguguran hanya selepas lima minggu disahkan hamil.
Jelas Najwa, dia dan suami enggan berkongsi berita sedih tersebut di media sosial namun memerlukan doa orang ramai untuk berdepan ujian tersebut.
Untuk rekod, Najwa dan Akwa mendirikan rumah tangga di Batu Pahat, Johor pada 11 November 2022. – Agensi


