Penyanyi Najwa Mahiaddin, 37, mendedahkan status ibu membataskan dirinya bergiat aktif dalam bidang seni.
Najwa berkata, keputusan memperlahankan karier nyanyiannya disebabkan mahu memberi sepenuh perhatian terhadap puteri sulungnya, Kaleela yang kini berusia dua tahun.
“Bergelar ibu, banyak masa saya dihabiskan untuk membesarkan Kaleela. Saya tidak mempunyai pembantu dan semua hal berkaitan anak, saya uruskan sendiri.
“Saya memang tak nak ada pembantu kerana dapat juga saya lihat tumbesaran dan perkembangan anak bila jaganya sendiri. Lagipun, kita melalui fasa pandemik COVID-19 ketika Kaleela lahir.
Jadi, memandangkan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan persembahan pentas tidak dibenarkan, jadi soal nyanyian bukan lagi fokus saya.
“Tumpuan saya hanyalah pada anak yang baru lahir. Sekarang, bila sudah ada masa dan secara kebetulan, lagu runut bunyi yang dicipta akan keluar, barulah saya bersedia kembali aktif.
“Saya harap ini akan membuka lebih banyak peluang,” katanya kepada BH Online. – Agensi
