ROM, 21 NOV – Seorang nakhoda bot laju yang merempuh sebuah kapal layar di pesisir Amalfi, Itali, sehingga mengorbankan seorang pelancong Amerika Syarikat (AS), dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun atas pertuduhan membunuh secara tidak sengaja, menurut peguamnya hari ini.
Adrienne Vaughan, 45, ketua cawangan AS syarikat penerbitan Bloomsbury, meninggal dunia selepas tercampak dari bot laju itu di kawasan percutian popular di selatan Itali pada Ogos 2023.
Nakhoda Itali, Elio Persico, 32, dijatuhi hukuman penjara empat tahun sembilan bulan oleh seorang hakim di Salerno selepas memohon perjanjian pengakuan bersalah, kata peguam Liberato Mazzola kepada AFP.
Persico didapati positif mengambil kokain dan alkohol pada ketika itu.
Vaughan berada di bot bersama suami dan dua anaknya, berusia 12 dan lapan tahun, ketika itu sedang berjemur apabila bot laju merempuh kapal layar yang membawa penumpang lain.
Dia tercampak ke laut dan terkena bilah pemutar enjin, manakala anak perempuannya turut terhumban ke laut tetapi tidak mengalami kecederaan. – AFP


