Pelakon dan pengarah, Nam Ron mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran melakonkan watak lelaki pedofilia kerana tidak sanggup menyakiti dirinya secara emosi demi menghidupkan karakter sedemikian.
Menurut Nam Ron atau Shahili Abdan, 56, meskipun terbuka dengan pelbagai karakter mencabar, namun tawaran itu terpaksa ditolak kerana melibatkan perlakuan amang seksual terhadap kanak-kanak.
“Pada peringkat umur sekarang saya ditawarkan watak lelaki pedofilia hingga melibatkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Jadi saya terpaksa tolak sebab ia satu rasa yang sangat berat untuk dibuat. Bagi saya, ia akan menyakitkan secara dalaman kerana lakonan ini ada kaitan dengan rasa,” katanya ketika dihubungi mStar.
Nam Ron berkata, pengalaman membawa watak-watak beremosi tinggi sebelum ini membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menerima naskhah yang memberi kesan berpanjangan terhadap kehidupan peribadi.

“Antara naskhah yang memberi impak kepada kehidupan saya sebelum ini adalah drama Karlos yang ditayangkan pada 2013. Watak Rashid yang dibawa ketika itu menceritakan seorang bapa panas baran, kaki pukul, pemabuk dan suka berjudi sehingga saya terbawa-bawa emosi ke rumah. Masa itu saya betul-betul masuk dalam karakter.
“Saya jadi cepat marah, sampai tengking anak-anak hanya sebab benda kecil. Mereka jadi terpinga-pinga kenapa saya berkelakuan pelik dan bukan seperti yang mereka kenal.
“Sekarang saya dah tahu bagaimana nak kawal. Bila berada di luar set, saya tinggalkan karakter itu di belakang. Kita berlakon guna rasa, tapi kena tahu bila perlu berhenti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nam Ron kini terlibat dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor yang bakal dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai ini.
Mengulas penglibatannya, Nam Ron berkata sesi latihan berlangsung dengan seronok kerana pengarah, Syahrul Musa memberi ruang yang selesa untuk berkarya. – Agensi