DOHA, 28 Feb – Gol penyamaan lewat bintang Korea Nam Tae-hee membolehkan gergasi Qatar Lekhwiya seri 2-2 dengan Al-Fateh kelmarin, sekali gus memanjangkan lagi kemarau kemenangan pasukan Arab Saudi itu dalam Liga Juara-Juara Asia.
Tuan rumah kelihatan menuju kemenangan pertama dalam acara benua sebelum Nam merembat gol penyamaan pada minit ke-86 dalam perlawanan menakjubkan Kumpulan B di Stadium Putera Abdullah bin Jalawi di Al-Hasa.
Youssef al-Arabi telah menjaringkan gol ketiganya dalam dua perlawanan untuk membantu Lekhwiya pergi ke hadapan pada minit ke-18 selepas menanduk hantaran silang Youssef Msakni, tetapi Nathan Junior menjaringkan penalti untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-40 selepas Luiz Junior terpegang bola.
Tuan rumah melangkah ke hadapan pada minit ke-56 gara-gara kesilapan penjaga gol Lekhwiya Amine Lecomte yang gagal menguasai tendangan sudut sehingga membolehkan Sayyaf al-Bishi menyumbat gol hanya dari jarak tiga ela.
Lekhwiya jelas pasukan yang lebih baik terutamanya pada akhir babak kedua di mana mereka mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Tetapi rembatan Youssef Msakni diselamatkan oleh penjaga gol Al-Fateh Abdullah al-Qaisher dan percubaan jarak dekat Moez Ali pula tersasar.
Dengan masa semakin suntuk, midfield berusia 25 tahun Nam menyamakan kedudukan berikut lontaran ke dalam dengan voli cantik melengkung melepasi al-Qaisher masuk ke penjuru kanan atas gawang.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Esteghlal Khuzestan menyerahkan gergasi UAE Al-Jazira kekalahan kedua berturut-turut dengan Aloys Nong menyumbat gol pada minit kedua.
Al-Jazira yang memimpin UAE Pro League, tewas 3-0 kepada Lekhwiya di Doha minggu lalu dan tewas kali kedua berturut-turut memberikan mereka banyak beban untuk mengejar pesaing. – AFP