Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Nama Kristal X dicadang peminat – Lan

    Vokalis Kristal X iaitu Lan menegaskan pemilihan nama kumpulan itu dicadangkan sendiri oleh peminat menerusi tinjauan di media sosial.

    Memetik laporan mStar, Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 40, berkata keputusan tersebut dibuat bagi menghargai peminat yang menyokong mereka untuk kembali semula ke arena muzik.

    “Sebelum ini kami mula dengan jenama X band dahulu tapi dalam penilaian dan survey yang kita lakukan ramai peminat sukakan nama Kristal X.

    “Jadi bagi memuaskan hati peminat yang menyokong kami sejak dulu jadi kami pilih nama tersebut,” katanya kepada mStar.

    Lan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sidang Media Konsert Merah Hitam yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

    Selain Lan, Kristal X turut dianggotai oleh bekas anggota lama kumpulan Kristal termasuk Ainol (drum), Amai (bass) dan ahli baharu iaitu Ayop (keyboard) dan Napie (gitar).

    Dalam pada itu, Lan memberitahu tiada sebarang isu berbangkit berhubung penggunaan jenama Kristal pada nama tersebut.

    Menurutnya, beliau mahu kedua-dua kumpulan fokus menampilkan prestasi terbaik dan bersaing secara sihat di dalam industri.

    “Penggunaan nama Kristal X ini setakat ini tiada isu, bagi saya yang penting kematangan dalam industri ini sangat penting.

    “Saya nak bersaing secara sihat. Dengan cara itu masing-masing tunjukkan kemajuan kumpulan masing-masing,” jelasnya.

    Mengulas lanjut berkenaan hubungan bersama anggota Kristal sebelum ini, Lan menjelaskan mereka tetap bersikap profesional namun tidak lagi seakrab dahulu.

    “Hubungan saya baik saja, kalau jumpa memang kami bertegur sapa. Tidaklah akrab seperti dulu.

    “Kalau kita jumpa orang mesti kita boleh rasa aura mesra tapi jujurnya saya tak rasa aura itu,” katanya.

    Sementara itu, Lan turut memaklumkan beliau dan anggotanya mendapatkan khidmat nasihat dari sifu mereka iaitu vokalis kumpulan Wings iaitu Awie.

    “Kami juga ada minta restu dari sifu saya iaitu abang Awie sendiri. Kami dapat nasihat dari Abang Awie untuk teruskan, tiadalah kami menonong saja,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Kristal X bakal berkongsi pentas dengan kumpulan Def Gab C dalam konsert Merah Hitam pada 31 Ogos depan.

    Konsert yang dibawakan oleh Shoreline Space bakal menampilkan suntikan artistik tersendiri dari segi tema, gubahan lagu dan kreativiti persembahan.

    Kristal X dan Def Gab C bakal mengegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi 20 buah lagu malar segar yang akan menggamit kenangan penonton. – Agensi

    Lan mahu kedua-dua kumpulan Kristal memberi fokus dalam menampilkan prestasi terbaik. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...