Nama, logo AMBD disalah guna

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) baru-baru ini, telah mendapati satu surat yang kononnya telah dikeluarkan oleh pihak AMBD, lengkap dengan nama dan logo AMBD yang tersebar luas di media sosial.

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menjelaskan bahawa surat tersebut bukanlah sahih.

AMBD menegaskan bahawa sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran AMBD yang serupa tanpa kebenaran bertulis atau menggunakan nama, simbol, rekabentuk atau gambaran AMBD yang serupa atau menyerupai nama, simbol, rekabentuk atau gambaran AMBD untuk memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan untuk memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan adalah melakukan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah Autoriti Monetari Brunei Darussalam, 2010, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, sesiapa yang sama ada secara lisan atau secara bertulis atau dengan apa jua cara lain, menyebarkan berita-berita palsu atau membuat kenyataan-kenyataan palsu yang mungkin menyebabkan orang ramai takut atau gundah gulana adalah melakukan kesalahan di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, yang boleh membawa hukuman denda sebanyak $3,000 dan penjara selama tiga tahun.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada apabila menerima mana-mana surat atau mesej memohon pembayaran atau butiran peribadi, yang seolah-olahnya datang daripada AMBD, dengan menggunakan nama, simbol, rekabentuk atau gambaran AMBD.

Jika menerima surat dari AMBD yang disyaki palsu, orang ramai bolehlah menghubungi AMBD melalui talian 2388388 atau melalui emel [email protected]