NAMHAE – Namhae terletak di hujung selatan wilayah Gyeongsang Selatan, dan ia mengambil masa lebih empat jam untuk sampai ke sana dengan menaiki kereta dari Seoul.
Kawasan pesisir pantai yang tenang itu menawarkan ruang untuk lari daripada tempat tumpuan pelancong yang sibuk dan membolehkan pengunjung untuk menikmati air kebiruan, hidangan tempatan yang lazat dan bersantai.
HIDANGAN ISTIMEWA NAMHAE
Selepas perjalanan panjang, awda pastinya wajib mencuba hidangan paling ikonik di Namhae iaitu myeolchi ssambap (nasi bungkus ikan bilis). Keistimewaan hidangan tempatan itu sangat disukai sehinggakan terdapat sebatang jalan yang dinamakan sempena hidangan itu.
Ia terdiri daripada ikan bilis, tauhu dan sayur-sayuran yang direbus dalam sos merah yang kaya, semuanya dibalut dengan daun salad segar iaitu balutan ‘ssam’ yang memberikan nama kepada hidangan itu.
Salah satu tempat paling terkenal untuk mencubanya ialah Restoran Jaedoo, yang terkenal dengan barisan panjang dan peminat setianya. Ia juga membuat kemunculan dalam rancangan makanan popular Korea Huh Young Man’s Food Travel yang dihoskan oleh pengkritik makanan legenda Huh. Versi myeolchi ssambap di Restoran Jaedoo menggalakkan para pengunjung untuk mencampurkan nasi terus ke dalam kuahnya untuk rasa yang maksimum. Makanan di tempat itu disajikan dengan banyak hidangan sampingan dan pemilik yang prihatin memastikan semuanya mencukupi. Kemesraan dan kemurahan hati perkhidmatan menjadikan pengalaman menjamu selera lebih memuaskan.





MANDI DI LAUT
Setelah kembali segar, pergi ke selatan menuju ke salah satu khazanah pantai Namhae iaitu Pantai Seolli. Ia terletak di perkampungan nelayan kecil tepat di seberang Pantai Songjeong di Mijo-myeon. Dengan pasir putih yang lembut dan iklim yang hangat, Seolli sangat sesuai untuk bersantai dan meneroka.
Bagi pengembaraan, aktiviti kayak dan snorkeling adalah satu kemestian. Awda boleh menaiki kayak dan mendayung ke Pulau Sado, tidak jauh dari pantai. Setibanya di sana, awda berpeluang untuk bersnorkeling di perairan yang dalam dan jernih di bawah bimbingan anggota penyelamat yang meronda di kawasan itu menggunakan jet ski. Ini adalah peluang unik untuk memerhati hidupan marin termasuk obor-obor besar semasa musim panas. Selepas lawatan, kembali ke pantai dan gunakan kemudahan pancuran mandian awam berdekatan untuk menyegarkan badan sebelum meneruskan perjalanan.
MENGUNDUR MASA
Tidak lengkap perjalanan ke Namhae tanpa melawat ke Kampung Daraengi, tempat di mana sejarah dan kepintaran bertemu laut. Terletak di lereng bukit yang curam, kampung itu terkenal dengan sawah padi teres yang mengalir turun ke arah lautan. Ladang bertingkat itu telah lama diusahakan oleh petani yang ingin memanfaatkan setiap inci tanah, dan pada masa ini mereka mencipta landskap yang kaya dengan budaya dan visual yang menakjubkan.
Tersebar di seluruh kampung adalah denai pendakian dan tempat tinjau yang menarik, mengambil masa kira-kira sejam untuk meneroka sepenuhnya. Sepanjang perjalanan, awda akan temui kafe selesa yang menawarkan pemandangan laut dan padang yang menyeluruh. Satu yang menonjol ialah Cafe Tol, dengan tamannya yang indah penuh dengan bunga berwarna-warni, suasana dongeng dan tawaran istimewa seperti kek castella berasaskan beras dan minuman menyegarkan yang diperbuat daripada yuja (buah sitrus) terkenal di Namhae.
SYURGA YANG SEMPURNA
Hanya dalam jarak pemanduan yang singkat, Seomi Garden, sebuah taman botani gaya Eropah yang terletak di atas laut. Oasis yang terjaga rapi itu terasa seperti melangkah ke lukisan Monet, menggabungkan unsur-unsur dinding batu tradisional, kolam dan rumput asli dengan sempadan herba tersusun rapi dan taman bertema. Dibina menggunakan aras bekas teres padi, kawasan itu dibahagikan kepada sembilan taman yang berbeza, dengan setiap satu menawarkan suasana dan pemandangan yang berbeza.
Haiwan peliharaan juga dialu-alukan, menjadikannya tempat yang sesuai untuk pengembara dengan teman berbulu. Sama ada awda menangkap gambar untuk Instagram atau sekadar bersiar-siar melalui pemandangan indah, Seomi Garden memberikan ketenangan dan kegembiraan visual dalam ukuran yang sama.
CENDERAHATI
Untuk membawa kenang-kenangan Namhae bersama awda, singgah di Choroc Store, sebuah kedai cenderamata yang menawan di mana pemiliknya mereka bentuk semua ilustrasi dengan tangan. Awda akan temui magnet, lencana, alat tulis dan sapu tangan yang dihiasi dengan karya seni pelik yang memaparkan tanda tempat Namhae. Setiap pembelian disertakan dengan poskad bergambar percuma.
Jika awda sedang mencari sesuatu yang lebih unik dan lazat, pergi ke Baraeon, sebuah kedai butik yang menawarkan bukan sahaja pelbagai hasil buatan tempatan tetapi juga makanan istimewa seperti sos ikan bilis, sirap yuja dan fish cake buatan tangan. Ia merupakan hadiah yang sempurna atau peringatan yang lazat tentang perjalanan awda sebaik sahaja pulang ke rumah.
Namhae bukan sekadar destinasi pantai. Ia adalah tempat untuk bersantai, makanan dikongsi dengan kemesraan dan keindahan semula jadi daratan dan laut bersatu dalam harmoni yang sempurna. Sama ada awda mendayung merentasi perairan biru, menikmati hidangan myeolchi ssambap, atau melihat matahari terbenam di atas sawah berteres, Namhae menjemput awda untuk bersantai walaupun hanya untuk hujung minggu. – ANN/The Korean Herald

