Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Namibia kerah 500 tentera padam kebakaran di Taman Negara Etosha

    WINDHOEK, 29 SEPT – Namibia telah mengerahkan sebanyak 500 anggota tentera kelmarin untuk membantu memadamkan kebakaran yang telah memusnahkan sepertiga daripada Taman Negara Etosha, salah satu kawasan perlindungan hidupan liar terbesar di Afrika, menurut pegawai.
     
    Taman yang terletak di utara gurun negara itu menempatkan 114 spesies mamalia, termasuk badak sumbu hitam yang sangat terancam dan merupakan tarikan pelancongan utama.
     
    Kebakaran itu bermula pada 22 September dan merebak dengan cepat akibat tiupan angin kencang serta tumbuh-tumbuhan kering, menyebabkan kerosakan ekologi yang meluas, menurut kementerian alam sekitar dan pejabat presiden.
     
    Selepas mengadakan mesyuarat kabinet tergempar pada Sabtu, pihak kerajaan telah mengerahkan seramai 500 anggota tentera dan dua helikopter ke kawasan berkenaan kelmarin, bagi membantu usaha memadam kebakaran, menurut kenyataan pejabat presiden.
     
    Pasukan tambahan itu bergabung dengan 40 anggota tentera yang tiba pada Sabtu untuk membantu polis, penduduk tempatan serta pekerja ladang dan syarikat swasta berdekatan yang sudah pun berusaha memadamkan api.
     
    “Kebakaran tersebut telah menimbulkan ancaman besar terhadap biodiversiti, hidupan liar dan sumber rezeki komuniti di kawasan terjejas. Sekitar 30 peratus kawasan ragut di taman telah musnah,” kata Menteri Pertahanan, Frans Kapofi kepada AFP, sambil menambah punca kebakaran masih cuba dikenal pasti.
     
    Kementerian alam sekitar pada Sabtu berkata sekurang-kurangnya sembilan ekor antelop telah mati dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pengeluaran arang di ladang komersial berhampiran Taman Negara Etosha (ENP).
     
    “Kerosakan ekologi di dalam ENP sangat besar, dengan anggaran 775,163 hektar, iaitu kira-kira 34 peratus kawasan taman, musnah terbakar,” katanya. – AFP
     
    Insiden kebakaran belukar yang berlaku di Taman Negara Etosha, Namibia pada 28 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda