MALAYSIA – Arnab memang comel. Ia mempunyai bulu lembut, telinga besar, badan bulat dan ekor kecil yang gebu. Ia adalah haiwan peliharaan yang sempurna untuk bergambar.
Walau bagaimanapun, selepas Tahun Arnab bermula, tempat perlindungan telah dibanjiri dengan arnab yang tidak diingini. Anehnya, arnab sentiasa berakhir di tempat perlindungan, walaupun pada tahun-tahun lain.
Ingin tahu tentang fenomena itu, beberapa pakar arnab ditemu bual tentang cabaran menjaga haiwan berbulu comel ini.
MASALAH PERGIGIAN
Serene Yiwah, pemilik HappyThreePets, tempat tinggal arnab berasaskan rumah di Johor Baru, adalah sukarelawan pusat perlindungan veteran yang sentiasa mengambil haiwan yang terbiar. Dia tinggal bersama enam ekor kucing dan tiga ekor anjing, dan dalam dua tahun lepas, tiga ekor arnab telah menyertai kumpulan mereka.
“Saya menemui Udon di tepi jalan pada Hari Ibu tahun 2021,” kata Serene. “Ia pastinya haiwan peliharaan yang telah dibuang.
“Beberapa bulan kemudian, pada Hari Kebangsaan, seseorang menyiarkan notis kecemasan arnab di Facebook. Seekor arnab kecil yang malang tidak mempunyai bulu dan masalah genetik. Itulah Soba.
“Beberapa bulan selepas itu, seorang rakan terjumpa seekor anak kucing kecil di hadapan rumahnya. Tetapi apabila dia melihat lebih dekat, dia menyedari bahawa ia adalah anak arnab. Dia tidak mempunyai pengalaman jadi dia membawanya kepada saya. Itulah bagaimana kami mendapat Pasta.”
Yiwah mempunyai seekor arnab peliharaan 12 tahun yang lalu, tetapi dengan tiga haiwan yang diselamatkan itu, dia perlu belajar dengan pantas cara menjaga spesies itu.
“Arnab kelihatan kecil, comel dan berbulu, haiwan kesayangan yang senang dan ideal untuk kanak-kanak,” katanya. “Tetapi arnab sebenarnya agak sukar untuk diurus. Haiwan itu lazimnya dibiak secara semula jadi, jadi ia mempunyai banyak keadaan kesihatan yang diwarisi secara genetik, yang mana masalah pergigian adalah yang paling mencabar.”
Gigi arnab tumbuh secara berterusan. Di habitat liar, haiwan mengerit sepanjang hari, yang membantu menjaga kesihatan gigi. Tetapi dengan pembiakan dalam dan makanan lembut, arnab peliharaan boleh mengalami masalah pergigian.
“Awda boleh menguruskan tumbesaran biasa dengan banyak jerami berkualiti, tetapi banyak arnab juga memerlukan perapian gigi,” kata Yiwah. “Ia melibatkan pembedahan dengan anestetik dan bermakna banyak bil perlu dibayar setiap beberapa bulan.”
Tetapi yang menghairankan, itu bukan sebab utama arnab bukan merupakan haiwan peliharaan yang baik.
“Arnab kelihatan cantik dan comel tetapi 90 peratus daripadanya tidak suka pelukan,” ujar Yiwah sambil ketawa. “Amat sedikit arnab yang suka disentuh. Selain itu, jika awda tidak memandulnya, ia boleh menjadi agresif.”
Arnab menendang dan menggigit, terutamanya jika ia berasal daripada penternak yang tidak peduli untuk bersosial dengan mereka.
“Seekor arnab dalam sangkar boleh jatuh sakit kerana wayar logam menyebabkan kaki mereka menjadi radang,” kata Yiwah. “Arnab memerlukan kandang main dan ruang untuk berlari.
“Selain itu, arnab selalu berak! Sepanjang masa, secara berterusan. Sungguh mengagumkan berapa banyak najis yang boleh keluar daripada arnab. Jadi perlu menghabiskan banyak masa untuk membersihkan kandang.”
Malangnya, mesej ini tidak jelas bagi orang ramai.
“Orang yang tidak mengenali haiwan tidak tahu awda perlu memandulnya,” kata Yiwah dengan sedih. “Mereka mengurungnya dan apabila arnab itu sakit dan menjadi liar, menendang atau menggigit anak-anak, orang ramai menjadi marah. Mereka tidak sedar mereka yang mendorong perkara ini berlaku.”
Walaupun arnab merupakan satu cabaran, dan kebanyakannya mati atau terbunuh, terdapat beberapa kisah yang gembira dengan arnab.
HAIWAN SOSIAL
Dua tahun lalu, Jennifer Kwan, seorang pakar fasiliti di Kuala Lumpur, keluar untuk mencari arnab peliharaan untuk anak saudaranya.
“Saya tidak tahu apa-apa tentang arnab, saya seorang yang suka anjing, jadi saya pergi ke kedai haiwan peliharaan,” jelas Kwan. Tetapi apabila dia tiba di sana, dia terkejut.
“Ada sekumpulan arnab duduk di dalam akuarium. Saya berasa sangat kasihan kerana ia tidak kelihatan gembira atau selesa. Kemudian saya melihat seekor arnab yang duduk sendirian.”
Apabila Kwan bertanya kepada pekerja mengapa arnab itu bersendirian, mereka memberitahunya ia sedang mati.
“Mereka tidak peduli, mereka hanya berkata saya perlu membeli salah satu daripada yang lain,” kata Kwan. “Apabila saya memberitahu mereka saya akan mengambil arnab yang sakit itu, mereka tidak kisah, memberi saya diskaun dan memberitahu saya apabila ia mati, ia akan menjadi masalah saya.”
Dia menamakan arnab kecil itu Mia – dan mula mencari maklumat dalam Google. Ini mendorongnya berhubung dengan Beh dan Yo, dua pakar arnab yang amat disegani.
Mereka memandang Mia dan menjelaskan kepada Kwan bahawa arnab itu mempunyai jangkitan hama. Syukurlah, ia bukan masalah utama.
“Saya memberinya sedikit ubat,” ujar Kwan. “Kemudian saya duduk bersamanya dan membelainya.”
Dua minggu kemudian, Mia sudah sihat.
“Orang ramai berfikir bahawa haiwan kecil mudah dijaga berbanding kucing atau anjing, tetapi itu sebenarnya tidak benar,” katanya.
“Arnab memerlukan banyak masa, pengetahuan dan kesabaran, seperti kucing atau anjing.
Jadi jika awda seorang pencinta haiwan, dan awda mempunyai masa, tidak jadi masalah, tetapi jika awda mahukan haiwan peliharaan yang senang, arnab bukan untuk awda.
“Arnab bukan haiwan peliharaan yang baik untuk kanak-kanak. Banyak pengetahuan dan sokongan kewangan diperlukan untuk menjaga arnab yang sihat, ” katanya.
“Selain itu, arnab adalah haiwan sosial. Ia memerlukan antara satu sama lain. Arnab akan menyayangi awda, tetapi ia memerlukan seekor arnab untuk dijadikan teman. Itu adalah sifat semula jadi arnab.” – ANN/The Star