Nana Sheme muncul lagu baharu

Mahu peminat melihat sisi kematangan, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Hantu Atau Buaya, Nana Sheme memilih genre lebih segar untuk single terbaharu, Ragu-ragu.

Nana atau nama sebenarnya, Nabilah Hashimi berkata, single Ragu-ragu adalah ciptaan penyanyi dan komposer, Nadya Fatira. Lagu itu digubah komposer Indonesia, Barry Maheswara yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi Indonesia, Rizky Febian dan Mytha Lestari.

Dalam usaha memperkenalkan nama Nana di negara jiran, muzik video Ragu-ragu kini sudah mencecah lebih 800,000 penonton di YouTube, biarpun baru sebulan dimuat naik dengan menampilkan pelakon Indonesia, Rizky Billar.

Bekas graduan Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Seni bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, dia mahu peminat melihat transisi perubahan diri daripada usia 18 tahun dengan sekarang sudah berusia 25 tahun.

Katanya, dia memilih elemen muzik yang bercirikan Indonesia kerana menggemari genre muzik sedemikian. Bagaimanapun, Nana tidak menyangka apabila syarikat pengurusan, Xeno Entertainment memenuhi kehendaknya.

Nana Sheme memilih genre lebih segar untuk single terbaharu, Ragu-ragu. – Agensi

“Sebagai penyanyi, kita yang perlu mendidik pendengar. Tak mungkin sampai bila-bila saya mahu menyanyikan lagu genre sama. Masa muda dahulu, jadi lagu seperti Hantu dan Buaya serta Boleh Blah sesuai dengan usia.

“Namun, apabila meningkat dewasa, saya perlukan lagu lebih matang. Namun, itu bukannya bermakna saya tak mahu membawakan lagu lama sewaktu persembahan. Lagu lama boleh menghiburkan penonton dan seronok melihat mereka menyanyi bersama,” katanya kepada media.

Nana berkata, dia membuat keputusan memperlahankan rentak kerjaya nyanyian pada tahun 2016 bagi memberikan tumpuan kepada pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Ia bagi memenuhi permintaan arwah ibu yang meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman dalam darah pada tahun 2010.

Gadis kelahiran Kuching, Sarawak yang berjaya menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama itu berkata, dia sebenarnya tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian, hanya membuat keputusan memperlahankan kerjaya seninya.

Katanya, dia masih menerima undangan persembahan, tetapi keutamaannya pada pelajaran, manakala bidang nyanyian sekadar dijadikan hobi mengisi masa lapang.

“Saya sedang menyambung pengajian di peringkat diploma ketika mula menyertai bidang nyanyi pada usia 18 tahun.” – Agensi