Oleh Izah Azahari
Gambar serahan Andery Lim
TUTONG, 18 MEI – Lazimnya, nanas akan mempunyai satu sahaja buah dalam empulurnya, namun nanas ditanam seorang lelaki, Andery Lim ternyata unik dan berbeza daripada kebiasaannya.
Nanas hasil dari kebun di kediamannya di Kampung Kebia, Mukim Kiudang, Tutong itu bercantum membentuk nanas gergasi.
Andery Lim, ketika ditemui di rumahnya, mengatakan ia merupakan kali pertama buah nanasnya tumbuh sebegitu, menambah bahawa bapanya, Alian Lim, berusia dalam 60an, menanam benih nanas itu, juga belum pernah menyaksikan perkara seumpamanya berlaku.
Nanas varieti itu yang dikenali dengan nama tempatan sebagai Nanas Paun, lazimnya hanya mengeluarkan sebiji buah sahaja.
Menurut seorang blogger Malaysia, Anim Hosnan, kejadian seumpamanya dalam penanaman nanas digelar Nanas Kipas kerana bentuknya seperti kipas.
Dalam kebanyakan kes, tumbesaran nanas adalah akibat perubahan genetik atau mutasi terhadap buah untuk menghasilkan lebih daripada sebiji nanas pada satu-satu masa.
Andery bagaimanapun berkongsi bahawa nanas tanaman mereka tumbuh secara semula jadi dan keganjilannya turut menarik perhatian orang ramai.

