MIRI, 11 OGOS – Varieti nanas Sarawak Gold (SG1) dijangka akan dibawa dan dipamerkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 September depan.
Ketua Sekretariat MAHA, Zurihanmi Zakariya berkata SG1 ini mempunyai potensi yang sangat besar dan hasilnya boleh dipasarkan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunjukkan minat yang mendalam dalam sektor pertanian, dengan harapan impak positif acara ini dapat dirasai bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui oleh pemberita pada Karnival Mini MAHA, di sini.
Beliau berkata bagi MAHA 2024 kali ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan bilangan penyertaan pempamer dari Sarawak turut meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Pada masa ini, sekretariat MAHA 2024 sedang menjalankan proses pemilihan pempamer dari seluruh negara untuk memastikan hanya pempamer dengan kualiti terbaik akan terlibat dalam acara ini.
“Kami berharap acara MAHA 2024 akan menjadi platform yang signifikan untuk mempromosikan sektor pertanian dan penternakan serta meningkatkan kesedaran mengenai potensi produk tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Zurihanmi berkata Jelajah Road to MAHA@Sarawak yang bermula dari Brunei pada Khamis lalu, kemudian Lawas dan Miri telah melabuhkan tirainya hari ini. – Bernama