Pelakon legenda Indonesia, Nani Wijaya dilaporkan meninggal dunia pada usia 79 tahun pada pukul 3:28 pagi Khamis lalu.
Berita kematian itu disahkan sendiri oleh anaknya, pelakon, Cahya Kamila menerusi Instagram miliknya.
“Innalillahiwainnailaihirojiun ibu saya telah pulang ke rahmatullah dengan tenang.
“Mohon dimaafkan segala kesalahan yang disengaja atau tidak disengajakan,” katanya.
Memetik laporan CNN Indonesia, sebelum ini ada khabar angin yang mengatakan Nani dibawa ke hospital kerana mengalami kesesakan nafas.
Namun, berita itu dinafikan oleh anaknya iaitu Nina Kartika yang memberitahu Allahyarham ke hospital kerana sakit tua.
Nina bagaimanapun menjelaskan keadaan Nani bertambah baik walaupun harus menjalani trakeostomi untuk membantu pernafasan.
“Kalau sudah berumur, biasalah sakit-sakit,” ujarnya.
Nani merupakan aktres senior dan legenda Indonesia yang telah berkecimpung dalam dunia seni lakonan sejak tahun 60an lagi.
Bukan hanya di layar perak, Nani juga kerap membintangi drama sinetron sejak 1995 dan antara drama popular yang pernah dilakonkan termasuk Tukang Bubur Naik Haji The Series, Bajaj Bajuri, Kemilau Cinta Kamila, Intan, Si Cecep dan banyak lagi. – Agensi
