Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    NANOverify mandatori menjelang akhir tahun

    KUALA LUMPUR, 29 Jun – NanoMalaysia Bhd, sebuah syarikat di bawah jaminan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merancang menjadikan Program NANOVerify sebagai mandatori untuk pengeluar produk teknologi nano menjelang akhir tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, ketika ini, NANOVerify, pensijilan pertama produk/proses teknologi nano di Malaysia, masih dianggap sebagai program pensijilan sukarela.

    “Kami masih berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan beberapa agensi berkaitan mengenai terma dan syarat untuk menjadikan NANOVerify mandatori dalam memastikan kesahihan bahan nano yang didakwa digunakan oleh pengeluar.

    “Dengan tanda NANOVerify di bawah program itu, ia akan menjamin keselamatan dan kualiti produk nano di negara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    NANOVerify, dilancar pada 2015 adalah program bersama antara SIRIM QAS International Sdn Bhd dan NanoMalaysia, yang memberikan tanda NANOVerify untuk syarikat yang memohon untuk pensijilan proses/produk dengan dakwaan mengandungi unsur nano dalam lingkungan satu hingga 100 nano meter.

    Rezal berkata, dengan tanda NANOVerify, ia juga membolehkan syarikat diberi pensijilan untuk meningkatkan imej korporat, mendapat kepercayaan pelanggan dan seterusnya mempromosi jualannya.

    Menyamakan NANOVerify dengan pensijilan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), beliau tidak menolak kemungkinan NANOVerify akan muncul sebagai penanda aras global untuk produk nano pada masa depan.

    “Ia mungkin mengikuti jejak JAKIM yang telah berjaya menjadikan pensijilan halalnya diiktiraf penduduk Islam di seluruh dunia, dalam tempoh 20 tahun lagi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda