SIBU, 21 MAC – Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memantau situasi banjir dan mengambil langkah sewajarnya, khususnya di Lebuh Raya Pan Borneo.
Beliau berkata bencana itu menjejaskan laluan Jambatan Durin, kira-kira 35 kilometer dari Sibu, apabila hujan berterusan telah mengakibatkan paras air Sungai Batang Rajang meningkat dan melimpah sekali gus menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya meminta JKR Sarawak untuk terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengambil langkah sewajarnya jika keadaan bertambah buruk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Nanta berkata setakat ini, laluan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat dan menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Hujan berterusan sejak beberapa hari lepas menyebabkan beberapa kawasan di Sibu dilanda banjir, termasuk di sekitar Jambatan Durin yang menjadi laluan utama Lebuh Raya Pan Borneo.
JKR Sarawak menerusi WhatsApp yang dihantar kepada pihak media memaklumkan bahawa kerja-kerja memasang papan tanda keselamatan di laluan berkenaan telah dijalankan.
Dalam perkembangan lain, jabatan itu memaklumkan insiden tanah runtuh mengakibatkan laluan ke projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit tidak boleh dilalui. – Bernama
