TOKYO, 26 JULAI – Bintang Jepun, Naomi Osaka (gambar) mara ke pusingan ketiga acara tenis Olimpik Tokyo manakala pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic meneruskan usaha memburu.
Juara empat kali Grand Slam, Naomi Osaka tidak berdepan masalah mengatasi pemain di ranking ke-49, Viktorija Golubic dari Switzerland, 6-3, 6-2 dalam masa satu jam bagi perlawanan keduanya dalam kejohanan itu.
“Secara terus-terang, saya rasa sedikit gementar sebelum perlawanan,” kata Naomi.
“Saya rasa gelisah, tetapi saya fikir selepas saya mula bermain dan berasa lebih selesa, saya tahu tidak kira apa yang berlaku ia pasti akan menjadi satu perlawanan hebat.”
Sebelum tiba di temasya itu, Naomi tidak beraksi sejak Mei lalu, selepas meninggalkan Terbuka Perancis dengan mengatakan komitmen media memberi tekanan kepada mentalnya.
Pemain berusia 23 tahun itu yang juga pilihan kedua merupakan bintang ranking tertinggi yang masih meneruskan perjuangan dalam acara yang berlangsung di Ariake Tennis Park.
Pemain nombor satu dunia dan juara Wimbledon, Ashleigh Barty sudah tersingkir pada pusingan pertama manakala pilihan ketiga, Aryna Sabalenka diketepikan Donna Vekic di pusingan kedua.
“Sememangnya ia cukup bermakna bagi saya jika memenangi pingat emas di sini, tetapi saya sedar ia memerlukan masa,” kata Naomi, yang akan berdepan naib juara Terbuka Perancis, Marketa Vondrousova atau wakil Romania, Mihaela Buzarnescu untuk tempat ke suku akhir. – AFP