OSAKA, 15 OKT – Naomi Osaka berjuang melalui kecederaan untuk mara ke suku akhir Terbuka Jepun hari ini, selepas membuat pukulan kemenangan menentang juara bertahan, Suzan Lamens.
Pemain pilihan utama, Osaka, yang bermain dalam kejohanan perseorangan di tanah airnya, Jepun buat kali pertama dalam tiga tahun memenang 7-6 (8/6), 3-6, 6-2 untuk menetapkan perlawanan suku akhir menentang Jaqueline Cristian dari Romania.
Pemain bekas nombor satu dunia itu memimpin 5-0 dalam set penentuan di bandar Osaka, ketika dia memerlukan rehat perubatan untuk menerima rawatan pada kaki kiri.
Dia kembali selepas mendapatkan rawatan dan tewas dua permainan berikut sebelum menamatkan perlawanan dalam masa 2 jam 20 minit.
Juara Grand Slam empat kali itu membuat pukulan backhand untuk catat kemenangan.

“Memang sangat sukar. Saya berasa sedikit menyesal terhadap sikap saya,” kata Osaka dalam temu bual di gelanggang yang terpaksa dipendekkan kerana kecederaannya.
Pemain berusia 27 tahun itu bermain dalam kejohanan pertamanya sejak mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), di mana dia tewas kepada Amanda Anisimova dari AS.
Osaka gagal mara ke minggu kedua mana-mana kejohanan utama sejak menjuarai Terbuka Australia buat kali kedua pada 2021.
Osaka, kini berada di kedudukan 16 teratas di dunia dan dia mula kembali ke gelanggang pada awal 2024 selepas melahirkan anak perempuan.
Namun, dia gagal melepasi pusingan kedua mana-mana Grand Slam tahun lalu dan tewas pada pusingan pertama dalam Terbuka Perancis pada Mei. – AFP

