OSAKA, 17 OKT – Naomi Osaka menarik diri daripada Terbuka Jepun sebelum perlawanan suku akhir hari ini selepas juara Grand Slam empat kali itu gagal pulih daripada kecederaan kaki.
Bekas pemain nombor satu dunia itu kelihatan sebak selepas berhempas pulas dalam perlawanan pusingan 16 menentang juara bertahan Suzan Lamens di Osaka pada Rabu.
Pilihan utama Osaka, yang menyambut ulang tahun ke-28 minggu ini, sepatutnya berdepan pemain Romania, Jaqueline Cristian, di peringkat suku akhir.
“Kami dengan kesal mengumumkan bahawa Naomi Osaka masih belum pulih daripada kecederaan kaki kiri yang dialaminya semasa pusingan kedua kejohanan ini dan telah menarik diri daripada perlawanan suku akhir yang dijadualkan hari ini,” menurut kenyataan penganjur kejohanan di platform X.
Osaka menamatkan kemenangan tiga set ke atas Lamens dengan balutan tebal di paha kiri dan berkata selepas perlawanan hanya ubat tahan sakit membantunya mengharungi perlawanan tersebut.
Penarikannya menjadikan pilihan keempat, Leylah Fernandez, sebagai pemain pilihan tertinggi yang masih kekal dalam undian.
Osaka, yang kini berada di ranking ke-16 dunia, dijadualkan beraksi dalam Kejohanan Terbuka Pan Pasifik di Tokyo minggu depan. – AFP


