ROM, 13 MEI – Gempa bumi bermagnitud 4.4 melanda kawasan gunung berapi di sekitar Naples hari ini, menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV) Itali, tetapi tiada laporan mengenai kerosakan.
Gegaran melanda kawasan Campi Flegrei (Phlegraean Fields) di selatan Itali pada 12:07 tengah hari, pada kedalaman tiga kilometer, disusuli dengan satu lagi gegaran magnitud 3.5 15 minit kemudian.
Ia dirasai di pusat bandar Naples dan mendorong orang ramai melarikan diri ke jalan-jalan di kawasan sekitar, termasuk di Pozzuoli, menurut agensi berita ANSA.
Dua laluan metro telah ditutup, menurut berita RAI, tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan.
Aktiviti seismik bukanlah sesuatu yang baharu di kawasan itu, yang merupakan kaldera aktif terbesar di Eropah – kawah yang ditinggalkan selepas letusan gunung berapi.

Ia terbentang dari pinggir Naples ke kawasan laut, berukuran kira-kira 12 kali 15 kilometer.
Tetapi kebanyakan daripada penduduk berjumlah 500,000 yang tinggal di zon bahaya telah dikejutkan dengan gempa bumi yang lebih besar daripada biasa pada tahun lalu.
Gempa bumi bermagnitud 4.4 pada 13 Mac menyebabkan kerosakan beberapa buah bangunan, 10 bulan selepas gegaran serupa pada Mei 2024 – yang terbesar selama 40 tahun.
Letusan gunung berapi Campi Flegrei 40,000 tahun dahulu adalah yang paling kuat di Mediterranean.
Aktiviti seismik yang aktif semula pada awal 1980an membawa kepada pemindahan besar-besaran yang menjadikan Pozzuoli sebuah bandar lengang. – AFP