NAPLES, Itali, 29 Nov – Dries Mertens meledak dua gol selepas gol pembukaan Marek Hamsik meletakkan Napoli semakin hampir ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas menundukkan Red Star Belgrade 3-1 pada awal pagi tadi.
Kapten pasukan, Hamsik membuka jaringan pada minit ke-11 di Naples dengan Mertens menambah satu gol di setiap babak untuk mendahului Kumpulan C dan akan bertemu Liverpool di Anfield pada aksi terakhir kumpulan.
Kelab Serie A kendalian Carlo Ancelotti itu bagaimanapun perlu menunggu dua minggu lagi untuk mara ke pusingan kalah mati selepas juara Perancis Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Liverpool 2-1 di Paris.
Kelab Itali itu belum tewas dalam saingan tahun ini dan melayan kunjungan pasukan tercorot Red Star Belgrade selepas sekadar seri tanpa jaringan di Belgrade.
Anak buah Ancelotti sebelum ini diikat kelab bergelut Serie A, Chievo 0-0 hujung minggu lalu dan ketinggalan lapan mata di belakang Juventus.
Juara tiga kali Liga Juara-Juara, Ancelotti sebelum perlawanan memberi amaran kepada anak buahnya yang mereka akan kelihatan ‘sangat bodoh’ jika tidak layak ke pusingan 16 pasukan terakhir musim ini.
Mereka beraksi mantap apabila cubaan awal Mertens seawal minit kelima dapat dihadang oleh penjaga gawang Red Star, Milan Borjan, susulan hantaran bijak Jose Callejon.
Tetapi beberapa minit kemudian Hamsik menembusi gawang lawan dengan voli jarak dekat ketika penjaring gol sepanjang masa pasukan itu dengan mencetak gol untuk pertama kalinya musim ini.
Fabian Ruiz membuat hantaran yang dapat disempurnakan Mertens dengan tendangan jarak dekat pada minit ke-33. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/11/P21-NAPOLI_301118.jpg)