NAPLES, ITALI, 23 SEPT – Napoli mengekalkan cengkaman di puncak Serie A selepas menewaskan pasukan baharu dinaikkan ke Serie A, Pisa, 3-2 pada aksi liga, kelmarin, sekali gus meneruskan permulaan sempurna juara bertahan itu dalam kempen domestik.
Jaringan pertama Lorenzo Lucca bersama kelab baharunya pada minit ke-82 menjadi penentu kemenangan tipis Napoli yang kini mengumpul 12 mata maksimum hasil empat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Napoli dua mata di depan pencabar utama Juventus yang sekadar seri dengan Verona pada Sabtu, manakala Roma dan AC Milan melengkapkan empat teratas liga Itali dengan ketinggalan tiga mata.
Seterusnya, Napoli bakal berkunjung ke San Siro untuk menentang Milan hujung minggu ini, sementara Milan terlebih dahulu beraksi dalam saingan Piala Itali menentang Lecce, Selasa malam.
“Sudah tentu kami gembira dengan empat kemenangan berturut-turut dalam liga yang memiliki enam atau tujuh pasukan pada tahap sangat tinggi,” kata jurulatih Antonio Conte kepada Sky.


“Kami memiliki ramai pemain baharu dan sudah memiliki Scudetto (juara musim lalu) pada jersi. Itu memberi tekanan tambahan,” tambahnya.
Conte yang sering dikaitkan dengan kesukaran menyeimbangkan saingan domestik dan Eropah mengakui prestasi pasukannya hambar selepas tewas 0-2 kepada Manchester City dalam Liga Juara-Juara, Khamis lalu.
“Pasukan yang saban tahun bermain bola sepak Eropah sudah lebih tersusun, tetapi kami belum. Sebab itu aksi setiap tiga hari boleh menimbulkan tekanan fizikal dan mental,” katanya lagi. “Kami perlu lebih sabar.”
Gol lewat Lucca menyelamatkan Napoli daripada keputusan seri selepas M’Bala Nzola menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-60.
Sebelum itu, Billy Gilmour mencetak gol profesional pertamanya pada minit ke-39 hasil rembatan yang terlantun masuk di Stadio Diego Armando Maradona.
Leonardo Spinazzola pula meledak jaringan pertama sejak Februari menerusi sepakan jarak jauh minit ke-73, sebelum Lucca menambah gol kemenangan Napoli.
Lucca, yang pernah menyarung jersi Pisa, menghukum bekas kelabnya selepas Lorran merapatkan kedudukan pada minit ke-90, hasil kesilapan Giovanni Di Lorenzo di kawasan sendiri. – AFP

