Thursday, January 23, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naqiu ambil tindakan terhadap individu cuba burukkan namanya

    Penyanti Naqiu menuntut ganti rugi terhadap seorang individu yang didakwa menipunya sehingga terpaksa menanggung kerugian mencecah RM100,000.

    Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 39, berkata, individu tersebut turut menggunakan namanya bagi tujuan mempromosikan produk tanpa pengetahuannya.

    Dia juga ditipu oleh individu sama yang memintanya menghasilkan dua buah lagu namun tanpa sebarang bayaran.

    “Dia menggunakan saya untuk membuat video promosi sebuah jenama di luar pengetahuan saya.

    “Dia juga ada meminta saya untuk membuat lagu tanpa membuat sebarang pembayaran sekali gus membuang masa saya,” katanya kepada mStar.

    Naqiu berkongsi perkara ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul Khayalan yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.

    Bukan itu sahaja, nama baik Naqiu juga tercalar apabila individu berkenaan menyebarkan cerita dia dipaksa merakamkan lagu gubahannya.

    “Dalam satu pertemuan sebelum ini, dia menyatakan hasrat untuk menghasilkan lagu walaupun dia tidak mempunyai bakat.

    “Ketika dalam peringkat demo, dia mendakwa saya yang memaksa dia merakamkan single tersebut kepada orang-orang industri seni.

    “Dia juga mendakwa sudah membayar kos projek ini sedangkan satu sen pun saya tidak dapat malah masa saya yang terbuang.

    “Logikkah saya nak paksa untuk seseorang tidak berbakat untuk menyanyikan lagu saya sedangkan duit pun saya tak dapat?,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Naqiu memberitahu dia mengambil tindakan tersebut bagi memberi pengajaran kepada individu berkenaan.

    “Pada awalnya saya tidak mahu memperbesarkan isu ini tetapi apabila saya diam, seolah-olah saya semakin dipermainkan. Mungkin dia anggap saya penakut dan tak pandai, jadi rasanya sekarang saya kena bertindak.

    “Isu ini bukan kali pertama berlaku tetapi apa yang sudah dilakukan individu ini sudah melampau kerana dia juga cuba memburukkan dan mencabar saya,” ujarnya.

    Selain Naqiu, pihak pengurusannya iaitu Mindorder turut menerima nasib sama dan menghantar surat tuntutan atau letter of demand (LOD) kepada individu terbabit.- Agensi

    Naqiu tidak berdiam kerana mahu beri pengajaran. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda