Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Narsistik: ‘Pemusnah senyap’ dalam lingkaran sosial

    KUALA LUMPUR,  3 JULAI – Di sebalik senyuman, tutur kata meyakinkan dengan perwatakan baik dan sering dilihat sebagai seorang yang hebat, wujud satu sisi gelap dalam sesetengah individu yang boleh merosakkan keharmonian suatu hubungan sosial.

    Mungkin ramai tidak menyedari ciri-ciri tersebut adalah sifat ‘narsistik’, iaitu orang yang mempunyai masalah gangguan personaliti narsistik (NPD). Golongan ini sering tampil sempurna di mata umum, tetapi realitinya mereka membawa beban psikologi yang boleh memberi kesan negatif besar kepada orang di sekeliling mereka.

    Mengupas isu ini, kaunselor berdaftar, Faizah Mohamed Othman menjelaskan dalam dunia psikologi, istilah narsistik merujuk kepada pola personaliti yang bersandarkan pada rasa megah atau mengagumi diri sendiri daripada segi pemikiran ataupun tingkah laku.

    “Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders oleh Persatuan Pakar Psikiatri Amerika Syarikat, mereka yang disahkan sebagai NPD  cenderung mempunyai perasaan megah, taasub dengan kejayaan, kuasa, kepandaian, kecantikan dan percintaan dan kurang empati terhadap orang lain.

    “Selain itu,  mereka turut percaya bahawa diri mereka istimewa dan juga layak dilayan Istimewa, mempunyai rasa kagum terhadap sesuatu dengan berlebihan, memanfaatkan orang lain untuk kepentingan diri sendiri, iri hati serta mempunyai tingkah laku sombong dan bongkak,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

    Faizah berkata tingkah laku seorang NPD  ialah sering tampil segak dan berkarisma, bijak berkata-kata sehingga mampu mempengaruhi orang lain, berperwatakan berbeza dan juga seorang yang pendendam, agresif, sering berbohong dan juga berasakan diri mereka mangsa suatu keadaan.

    Jelasnya,  individu narsistik juga boleh mengaburi mata orang yang baru dikenali dengan pesona mereka dan hanya mereka yang sudah lama berdamping dengan individu narsistik akan mengenali dan mengetahui sikap sebenar golongan tersebut.

    Meskipun begitu, tidak semua individu yang mempunyai ciri-ciri itu boleh ‘didiagnosis’ sebagai mengalami NPD, katanya, menambah hanya pakar psikiatri boleh berbuat demikian.

    Kebanyakan mangsa golongan NPD menghadapi tekanan mental dan emosi kerana individu narsistik suka mewujudkan persengketaan, selain akan memanipulasi, mengawal dan mengugut mangsa dengan tingkah laku mereka, menurutnya lagi.

    Grandiosity merupakan topeng dan mekanisme mereka untuk menutup kekurangan atau kelemahan yang ada. Mereka sangat takut sekiranya topeng ini terbuka, sekali gus memperlihatkan perangai sebenar mereka. Selalunya ahli keluarga terdekat atau rakan sekerja pasti terkena tempias individu ini. Apatah lagi orang narsistik sering mewujudkan masalah dalam perhubungan, sama ada hubungan dengan rakan, keluarga atau pasangan,” tambah beliau.

    Faizah berkata apabila mangsa rasa bersalah dan rendah diri, individu narsistik akan mula berasa diri mereka berkuasa dan mampu mengawal keadaan termasuk mengarahkan mangsa mengikut kehendaknya. Akibatnya, mangsa akan menghadapi  fasa devaluasi (direndahkan), mengalami kemurungan, hilang perwatakan diri yang asal, keresahan, pengabaian emosi dan pengasingan (isolasi).

    “Saya kerap berdepan dengan kes rumah tangga dengan suami atau isteri mengadu tentang pasangan mereka yang mempamerkan personaliti narsistik. Dalam perhubungan, narsistik akan berlaku tidak jujur dengan pasangan mereka, culas nafkah, curang, malah ada yang suka menghilang beberapa hari, minggu atau bulan tanpa alasan munasabah.

    “Ada juga (narsistik) yang berbelanja besar di luar untuk kemegahan namun berkira-kira dengan keluarga apabila di rumah. Ada juga yang cemburu buta, mengawal dan menuduh pasangannya dengan perkara yang tidak sepatutnya,” jelas beliau. Lebih menyedihkan katanya, pasangan narsistik suka menghukum, agresif serta kerap mengeluarkan kata-kata kesat dengan sengaja untuk menyakiti pasangannya.

    “Di tempat kerja pula, narsistik akan menyerlah dengan kebaikan, misalnya memanupulasi untuk kepentingan diri tanpa disedari oleh rakan sekerjanya. Mereka ini akan mengarah, mengkritik dan memalukan rakan sekerja demi mencapai sasaran dalam kerjaya serta suka berbelanja atau memberi dengan tujuan membesarkan circle (orang di sekelilingnya) atau mendapatkan pengaruh,’’ katanya.

     Bagaimanapun katanya, individu yang mempunyai ciri narsistik juga sebenarnya boleh memberi manfaat positif dalam beberapa keadaan tertentu seperti menjadi pemimpin berwibawa  kerana sikap yakin diri dan mahukan kesempurnaan boleh mendorong organisasi ke arah pencapaian yang luar biasa.

    “Individu narsistik juga amat menjaga standard kerjayanya, justeru akan sentiasa melakukan yang terbaik supaya mereka terus dihargai dan disanjungi di dalam organisasi,’’ katanya.

    Sementara itu, pensyarah perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Nurazah Ismail berkata terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada perkembangan NPD atau ciri-cirinya.

    “Kajian mendapati genetik turut memainkan peranan dalam membentuk ciri-ciri ini. Melalui kaedah neuroimaging, terdapat perbezaan pada bahagian depan otak individu (mengawal emosi dan empati) yang mengalami gangguan NPD. Ada juga sebahagian mereka membangunkan ciri-ciri ini disebabkan berlaku insiden di sekeliling mereka, misalnya pernah dibuli menyebabkan mereka membina gambaran bahawa mereka harus hebat untuk tutup rasa malu dan rendah diri yang terpendam,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata secara umum, seseorang itu tidak menyedari dia sebenarnya narsistik, malah menganggap tingkah laku mereka normal. Ini kerana mereka telah dibesarkan dalam persekitaran yang mengukuhkan sifat-sifat tersebut, akibatnya tahap kesedaran diri mereka sangat rendah.

    Dr Nurazah berkata individu narsistik sering menggunakan pendekatan tidak mahu mengaku salah dan menyalahkan orang lain bagi setiap konflik yang berlaku sebagai mekanisme mempertahankan diri.

    Dalam pada itu, Dr Nurazah berkata kesukaran individu NPD mengakui kelemahan diri adalah merupakan cabaran besar kerana mereka mengelak daripada mendapatkan rawatan secara sukarela. Kebiasaannya individu NPD  hanya dirujuk kepada pakar apabila berdepan masalah tekanan sosial sehingga menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian yang normal.

    “Sekiranya mereka bersedia dibantu, rawatan utama ialah melalui psikoterapi yang mana tumpuan diberi kepada usaha membina empati, meningkatkan kesedaran diri serta mempelajari strategi pengurusan emosi. Walaupun NPD merupakan gangguan personaliti jangka panjang, perubahan positif boleh berlaku dengan komitmen dan sokongan yang berkesan dan berterusan. Individu NPD sebenarnya boleh belajar untuk membaiki tingkah laku, membina hubungan yang sihat dan akhirnya mengurangkan impak negatif terhadap orang sekeliling,” katanya. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda