TOKYO, 1 Mei – Maharaja baharu Jepun, Naruhito hari ini berikrar untuk berdiri teguh bersama rakyat Jepun ketika beliau secara rasminya menaiki Takhta Bunga Kekwa, sehari selepas hari bersejarah ayahandanya turut takhta bagi memberi laluan kepada era baharu imperialisme.
Ia merupakan kali pertama dalam lebih daripada 200 tahun seorang anggota monarki paling tua dunia memilih untuk turun takhta dan ritual ikrar mengiringi penurunan takhta Akihito dan penabalan Naruhito.
Naruhito secara rasminya menjadi maharaja dalam masa semalaman, apabila negara itu memulakan era imperial baharu Reiwa yang juga bermaksud ‘keharmonian yang indah’ namun peralihan itu diformalkan dalam majlis hari ini.
Ritual tersebut yang mengecualikan semua kerabat diraja wanita, menyaksikan Naruhito, 59, menerima alat kebesaran diraja yang diwariskan oleh ayahandanya sehari sebelumnya: sebilah pedang kuno dan permata suci serta cop mohor negara dan cop mohor istana.
Naruhito kemudiannya menyampaikan ucapan pertama negaranya, berikrar untuk ‘bertindak mengikut perlembagaan dan dalam masa yang sama, sentiasa memikirkan kebajikan rakyat dan berdiri teguh bersama mereka. Maharaja baharu itu mengenakan pakaian rasmi ala Barat termasuk mengenakan barangan kemas semasa majlis dan ucapannya. Beliau disertai Maharani Masako yang mengenakan gaun putih panjang dengan tiara.
Maharaja ke-126 negara itu mengatakan beliau akan ‘mencontohi dan mengikut jejak langkah’ terbaik ayahandanya, Akihito dan menaiki takhta akan membolehkan beliau ‘menggalas tanggungjawab dengan lebih serius.’
Perdana Menteri Shinzo Abe, membalas mewakili rakyat menyatakan: “Kami bertekad untuk mencipta masa depan cemerlang kebanggaan Jepun, dengan keamanan dan harapan apabila tiba masanya situasi antarabangsa berubah secara dramatik.’
Selepas hujan lebat mengurangkan kemeriahan acara penurunan takhta semalam, rakyat Jepun hari ini berpesta dalam cuaca cerah dan beramai-ramai ke Makam Meiji di ibu negara, di mana minuman sake percuma diberikan menjelang festival memanah berkuda.
Manakala yang lainnya menyaksikan majlis dan ucapan negara yang berlangsung secara tertutup di istana, melalui skrin besar di luar Shinjuku, stesen paling sibuk di dunia. – AFP
