Bekas wartawan program hiburan Melodi iaitu Nas Ahmad disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9:49 pagi, hari ini.
Allahyarham Nas Ahmad atau Md Nasir Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh pada usia 63 tahun.
Khabar duka itu disahkan oleh menantunya dikenali sebagai Farhana, yang memaklumkan bapa mentuanya dikejarkan ke hospital berkenaan kelmarin selepas mengalami kekurangan oksigen.
“Pada 30 April arwah dibawa ke hospital kerana kekurangan oksigen dan mendapatkan rawatan di zon merah.
“Dalam masa sehari dia bergantung kepada oksigen dan kami menerima panggilan doktor pagi tadi.

“Sekarang ini kami sekeluarga berada di hospital dan jenazah masih di unit forensik,” katanya ketika dihubungi mStar.
Sementara itu, Farhana memaklumkan pihak keluarga masih belum membuat keputusan lokasi Allahyarham akan dikebumikan.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai wartawan dan penerbit Melodi, Nas Ahmad merupakan penulis hiburan popular tahun 80an kerana menjadi wartawan sambilan dengan menulis kisah-kisah artis di negeri Johor dalam majalah URTV terbitan Utusan.
Untuk rekod, Allahyarham sebelum ini menderita masalah jantung sejak Januari 2023.
Malah kerana penyakit berkenaan arwah yang terkenal dengan tagline ‘Kita Terjah’ tidak dapat berjalan seperti dahulu dan mudah terasa mengah. – Agensi