Demi menjayakan watak Keluang Man dengan baik, pelakon Nas-T rela memakai seluar dalam atau spender pada bahagian muka yang menjadi sebahagian kostum awal superhero itu.
Cerita Nas atau Nas Muammar Zar, 42, pada awalnya fokusnya terganggu ketika penggambaran kerana penampilan itu agak kelakar.
“Saya tidak ada bantahan (pakai seluar dalam), saya ikut saja apa pengarah rasa terbaik untuk filem ini.
“Masa pakai rasa macam betul ke nak pakai macam ini? Sampai kru pun ketawa tengok saya.
“Saya minta mereka fokus jangan gelak sebab nak shooting, lama-lama baru okay sebab sudah biasa tengok saya,” katanya kepada mStar.
Nas berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Malam Gala Kluang Man yang berlangsung di Putrajaya pada malam kelmarin.
Bagi mengelakkan salah faham, Nas memberitahu seluar dalam digunakan masih baharu sebelum diletakkan di muka.
“Tapi itu spendar (seluar dalam) baru, baru beli dalam kotak dan tak pernah lagi dipakai.
“Kena beritahu sebab ada yang lurus sangka seluar itu sudah digunakan,” ujarnya.
Meskipun berjaya fokus semasa menjalani penggambaran, Nas memberitahu dia terpaksa berdepan beberapa momen kelakar ketika memakai kostum berkenaan.
Katanya, dirinya akan menjadi bahan ketawa apabila terpaksa makan menggunakan kostum tersebut memandangkan ia perlu mengambil masa untuk dibuka dan memakainya kembali.
“Tapi kadang mereka tak boleh tahan gelak sebab bila saya makan terpaksa selak. Memang tak buka sebab nak cepat. Nak pakai itu agak renyah,” katanya.
Untuk info, Keluang Man adalah siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.
Filem aksi superhero ikonik Malaysia bakal menemui penonton bermula 29 Mei ini di seluruh pawagam di Malaysia. – Agensi
