WASHINGTON, 19 JAN – Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat, NASA dan pembuat pesawat, Boeing akan bekerjasama mencipta pesawat yang mampu menjimatkan bahan bakar, lapor agensi berita Jerman (dpa), memetik pengumuman NASA baru-baru ini.
“Sejak awal NASA telah bersama awda. NASA kini berusaha pergi lebih jauh, lebih pantas, lebih tinggi. Dengan berbuat demikian, NASA telah menjadikan penerbangan lebih mampan dan boleh dipercayai.
“Adalah menjadi matlamat kami agar kerjasama NASA dengan Boeing dapat menghasilkan dan menguji pesawat komersial yang lebih cekap bahan api, yang memberi manfaat kepada alam sekitar, industri penerbangan komersial dan kepada penumpang di seluruh dunia,” pentadbir NASA, Bill Nelson berkata dalam satu kenyataan.
NASA akan melabur AS$425 juta untuk membina, menguji dan menerbangkan pesawat demonstrator berskala penuh selama tujuh tahun, manakala Boeing dan rakan kongsinya akan menyumbang baki pembiayaan perjanjian yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$725 juta.
Agensi itu juga akan menyumbang kepakaran teknikal dan kemudahan sebagai sebahagian daripada perjanjian.
NASA bercadang untuk menyelesaikan ujian bagi projek itu pada akhir 2020an supaya reka bentuk baharu pesawat itu mampu membelah awan menjelang 2030. – Bernama