LOS ANGELES, 17 DIS – Teleskop Angkasa James Webb milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menemui bahawa cakera pembentuk planet mempunyai jangka hayat lebih panjang di alam semesta awal, menurut agensi itu dalam satu kenyataan kelmarin.
Pada 2003, Teleskop Angkasa Hubble milik NASA menemui bukti kewujudan sebuah planet besar mengorbit bintang tua yang hampir seusia dengan alam semesta. Bintang-bintang tua seperti itu mengandungi unsur berat yang sangat sedikit, iaitu bahan asas dalam proses pembentukan planet.
Penemuan itumencadangkan bahawa pembentukan planet telah berlaku seawal usia muda alam semesta, membolehkan planet-planet terbentuk dan membesar di dalam cakera primordial mereka, malah lebih besar daripada saiz Musytari, menurut NASA.
Bagi mengesahkan penemuan Hubble, penyelidik menggunakan Teleskop Webb untuk mengkaji bintang-bintang dalam galaksi berdekatan yang, seperti alam semesta awal, juga kekurangan unsur berat.
Hasil kajian mendapati bahawa bukan sahaja terdapat bintang yang memiliki cakera pembentuk planet, tetapi jangka hayat cakera ini lebih lama berbanding cakera yang dilihat di sekitar bintang muda dalam galaksi Bima Sakti.
“Dengan Webb, kita memperoleh pengesahan kukuh terhadap pemerhatian yang dibuat oleh Hubble dan kini kita perlu menilai semula model pembentukan planet serta evolusi awal di alam semesta muda,” kata ketua kajian, Guido De Marchi dari Pusat Penyelidikan dan Teknologi Angkasa Eropah di Noordwijk, Belanda. – Xinhua
